GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Dua lagi kawasan akan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) masing-masing di sini dan Sandakan, Sabah bermula Ahad ini sehingga 24 Julai.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kawasan terbabit adalah Apartment Sri Rakyat Bandar Bukit Jalil di sini, dan Blok 11 serta 12 Lorong 4, Taman Nuri, Sandakan.

Menurutnya, pelaksanaan PKPD itu bertujuan mengawal pergerakan dan penularan jangkitan Covid-19 dari kawasan berisiko keluar dari lokaliti berkenaan.

"Hasil pemantauan dilakukan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Apartment Sri Rakyat mendapati trend kes meningkat dan setakat ini, sebanyak 94 kes positif direkodkan hasil saringan ke atas 598 orang penduduk.

"KKM juga melakukan 16 ujian saringan di Blok 11 dan 12 itu dengan sembilan daripadanya dilaporkan positif Covid-19 selain kadar kebolehjangkitan yang tinggi," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ismail Sabri berkata, prosedur operasi standard (SOP) PKPD berkenaan adalah sama seperti yang diumumkan sebelum ini.

Sementara itu, menurutnya, PKPD Jalan Kubur, Kuala Lumpur yang dijadualkan tamat pada hari ini dilanjutkan sehingga 15 Julai.

Katanya, kes masih menular dalam kalangan penduduk selain terdapat kes baru direkodkan di lokaliti itu.

Dalam pada itu, katanya, beberapa PKPD turut diisytihar tamat iaitu PKPD Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Murni, Sandakan; Penjara Tawau dan Kuarters Penjara Taman Ehsan; Kampung Pukat Tanjung Batu Laut; Kampung Baru Pasir Putih, Tawau; Lorong 12, 15 serta 16 Taman Fajar, Sandakan di Sabah serta Kampung Segambut Dalam di sini.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Julai 2021 @ 7:03 PM