GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di beberapa kawasan di Sarawak, Sabah, Melaka dan Perak mulai esok hingga 6 Julai ini.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPD itu bagi memudahkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaksanakan ujian saringan dan mengelak penularan wabak Covid-19 ke luar kawasan.

Beliau berkata, PKPD itu membabitkan dua lokaliti di Mukah iaitu Rumah Panjang Gabriel Bujang anak Ikau, Sungai Lepah, Tanjung Manis dan Kuarters Pekerja Balingian Power Generation, Jalan Sibu-Mukah.

"Sebanyak 49 kes direkodkan hasil daripada 117 ujian saringan di Rumah Panjang Gabriel Bujang anak Ikau manakala di Kuarters Pekerja Balingian Power Generation, sebanyak 25 ujian saringan dilakukan dan 15 daripadanya positif Covid-19.

"Pada masa sama, KKM mendapati kes meningkat dalam tempoh singkat dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi di lokaliti itu," katanya dalam kenyataan media, semalam.

Di Sabah, Ismail Sabri berkata, empat lokaliti dikenakan PKPD iaitu Blok 11 Kampung Titingan dan Batu 7 Jalan Tinagat di Tawau, Kampung Ejuk di Kota Belud dan Kampung Warisan di Kota Kinabalu.

Menurutnya, sebanyak 13 kes positif Covid-19 direkodkan di Blok 11 Kampung Titingan manakala Batu 7 Jalan Tinagat (12 kes), Kampung Ejuk (lapan kes) dan Kampung Warisan (13 kes).

Selain itu, katanya, PKPD di Melaka pula membabitkan Penjara Sungai Udang (kecuali Kuarters Penjara) yang sudah merekodkan 157 kes positif Covid-19.

Beliau berkata, di Perak, Kilang Sawit Cahaya Muda di Batang Padang termasuk kuarters pekerja dikenakan PKPD selepas merekodkan 97 kes positif.

"Prosedur operasi standard (SOP) bagi kesemua PKPD adalah sama seperti yang diumumkan sebelum ini," katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri turut mengumumkan penamatan beberapa PKPD di Sabah iaitu Taman Apas Permai, Bandar Sri Indah, Taman Megah Jaya di Tawau; Kampung Narandang, Kudat; Ladang FGV Kalabakan Selatan; Kampung Bolong Baru dan Kampung Simpangan, Tuaran.

Katanya, turut ditamatkan PKPD Politeknik Sultan Azlan Shah, Muallim dan Felda Trolak Utara, Sungkai di Perak serta Felda Tembangau 1 dan 3, Bera, Pahang.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Jun 2021 @ 7:46 PM