Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di 21 kawasan komuniti di Pulau Pinang, Pahang dan Sabah berkuatkuasa Jumaat ini sehingga 17 Jun.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPD itu membabitkan 13 lokaliti sekitar pekan Bayan Lepas, Pulau Pinang iaitu Sri Bayu, Bayu Tiara, Bayu Nyaman, Halaman Murni, Bayan Permai, Bayan Tiara, Taman Ara Indah, Kampung Bukit, Kampung Perlis, Kampung Masjid, Jalan Mahkamah, Jalan Kampung Pak Lah dan Lebuh Kampung Bukit.

"Di Sabah, kawasan terbabit adalah Lorong Taman Utama 5 hingga 8 Taman Utama, Sandakan; Kampung Sepagaya Hulu, Lahad Datu; Rumah Murah Kepayan dan Kampung Tanjung Aru Baru di Kota Kinabalu.

"Manakala di Pahang pula membabitkan Taman Bentong Makmur, Taman Harmoni, Taman Kolej dan Taman Desa Damai di Bentong," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pelaksanaan PKPD itu memudahkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjalankan pengesanan awal kes Covid-19 supaya dapat diasingkan secepat mungkin.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, PKPD di Mukim Pekan, Kunak, Sabah pula diperluaskan kepada 15 lokaliti baharu berikutan berlaku peningkatan kes yang ketara dalam masa singkat dengan kadar positif 64 peratus.

Menurutnya, lokaliti terbabit ialah Bajau Laut-Palauh, Kampung Cina, Kampung Selamat, Kampung Kunak Jaya, Kampung Singgah Mata, Kampung Kunak Kecil dan Kampung Bagiang.

Selain itu, Kampung Jaya Baru, Kampung Datuk Haji Zainal Gunong, Kampung JKR Lama, Kampung Haji Mohd Noor, Kampung Pangkalan Lama, Kampung Pangkalan Laut, Kampung Sungai Atas serta Pekan Kunak.

"PKPD di SMU Pantai Manis, Papar, Sabah yang dijadualkan tamat esok juga akan dilanjutkan sehingga 17 Jun ini kerana masih berlaku penularan serta kes baharu direkodkan dalam kalangan penghuni di lokaliti itu," katanya.

Tambah beliau, dua kawasan PKPD masing-masing UTM Skudai di Johor dan Gugusan Mendi di Bera, Pahang pula ditamatkan esok dan hari ini.

Katanya, KKM mengesahkan berlaku penurunan kes dan kluster adalah terkawal manakala semua kes positif sudah menerima rawatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Jun 2021 @ 6:47 PM