Foto hiasan
Foto hiasan
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Sebanyak 15 kawasan di Pahang, Perak, Sarawak dan Sabah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama 14 hari yang akan berkuat kuasa pada esok dan Isnin ini.

Enam kawasan di Sarawak yang akan dilaksanakan PKPD adalah di Rumah Panjang anak Umba, Rumah Panjang Tulu Anak Sli, Rumah Panjang Duah anak Entingi, Rumah Panjang Balin Anak Gema, Sekolah Kebangsaan (SK) St Luke dan Klinik Kesihatan Nanga Baoh.

Kawasan lain adalah Kampung Gunung Senyum, Kuala Krau di Temerloh, Pahang; Blok A hingga D Asrama Pekerja Kilang Eco Medi Glove di Taiping, Perak; Kampung Jelapang Baru dan Kampung Sungai Tapah di Ulu Kinta, Perak; Apartmen Taman Permata, Sandakan; Felda Umas 4, Kalabakan; Kampung Blok 31, Kampung Sentosa Blok 5 Hilltop, Kampung Bukit Kukusan serta Tanjung Batu di Tawau, Sabah.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelaksanaan PKPD itu bertujuan menyekat pergerakan dan penularan jangkitan Covid-19 dari kawasan berisiko keluar selain memudahkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjalankan pengesanan.

"Setakat ini, enam kawasan di Sarawak merekodkan 27 kes positif Covid-19, manakala 49 kes di tiga perkampungan di Sabah.

"Sebanyak 10 kes positif direkodkan di Felda Umas 4, Apartmen Taman Permata (18), manakala dua perkampungan di Ulu Kinta pula merekodkan 15 kes, Kampung Gunung Senyum (22) dan asrama pekerja kilang Eco Medi Glove (75)," katanya dalam kenyataannya hari ini.

Beliau berkata, PKPD di dua kampung di Ulu Kinta itu akan bermula pada esok sehingga 19 Jun, manakala semua kawasan lain akan bermula 7 sehingga 20 Jun ini.

Tambah beliau, SOP bagi kesemua PKPD berkenaan adalah sama seperti yang diumumkan sebelum ini.

Sementara itu, Ismail Sabri mengumumkan penamatan tiga PKPD masing-masing dua di Sabah iaitu Silimpopon Mill dan Silimpopon Estate di Kalabakan, Kampung Melikai di Kuala Penyu serta satu di Pahang iaitu Taman Perumahan, Perkampungan Sekitar Gau di Temerloh.

Katanya, kesemua PKPD itu akan ditamatkan bermula tengah malam ini.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Jun 2021 @ 6:33 PM