GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Kerajaan melaksanakan tujuh lagi Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) iaitu masing-masing satu di Johor dan Pahang manakala lima di Sabah berkuat kuasa Selasa ini hingga 5 Julai.

Menteri Kanan Keselamatan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, lima PKPD di Sabah membabitkan Kampung Skim Pamalan, Keningau; Kampung Jaya Baru, Kunak; Taman Wijaya Park, Kota Kinabalu; Kampung Serudung Baru, Tawau dan Ladang Brumas, Kalabakan.

"Semua lokaliti ini menunjukkan peningkatan kes Covid-19 dan selepas membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat Kementerian Kesihatan (KKM), kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di semua lokaliti ini berkuat kuasa 22 Jun sehingga 5 Julai.

"Pelaksanaan PKPD ini bagi menyekat pergerakan dan penularan jangkitan Covid-19 dari kawasan berisiko keluar dari lokaliti ini sekaligus memudahkan KKM menjalankan tindakan kawalan dengan cepat dan berkesan," katanya dalam kenyataan harian hari ini.

Ismail Sabri berkata, selain itu empat lokaliti di mukim Tenglu, Mersing, Johor turut dikenakan PKPD.

"Empat lokaliti ini membabitkan Kampung Tanjung Genting, Kampung Benaung, Kampung Makam dan Kampung Sawah Datok.

"KKM mengesahkan terdapat peningkatan kes Covid-19 di empat lokaliti ini di mana 54 kes positif direkodkan hasil 268 ujian saringan yang dijalankan," katanya.

Katanya, situasi sama turut berlaku di lima perumahan dalam kawasan Mentakab, Temerloh, Pahang yang juga dikenakan PKPD.

"Lima taman perumahan berkenaan adalah Taman Bukit Bendera, Taman Rimba, Taman Sri Layang, Taman Saga dan Taman Saga Indah.

"KKM mengesahkan terdapat peningkatan kes Covid-19 di lima lokaliti ini di mana lapan kes positif direkodkan di Taman Bukit Bendera, Taman Rimba (10 kes), Taman Saga (3 kes), Taman Saga Indah (2 kes) dan Taman Sri Layang (7 kes)," katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri mengesahkan PKPD di Kampung Pulutan, Nabawan, Sabah dilanjutkan bermula Selasa ini sehingga 5 Julai depan.

"Sepanjang tempoh PKPD, KKM melakukan 245 ujian saringan dan 24 daripadanya disahkan positif Covid-19.

"Sehingga kini, KKM mengesahkan masih terdapat penularan berterusan dalam kalangan penduduk di kawasan PKPD serta masih terdapat jangkitan baharu yang direkodkan," katanya.

Menurutnya, Jawatankuasa Teknikal PKP turut bersetuju menamatkan PKPD di lima lokasi di Sabah iaitu Kampung Murni C, Nabawan; dua perkampungan di Kota Belud; Kampung Bergosong, Pulau Sebatik, Tawau; Apartment Taman Permata, Sandakan dan Kampung Ongkilan, Kota Marudu.

"Selain itu penamatan dua PKPD di Pahang iaitu tiga lokaliti di Jaya Gading, Kuantan dan kawasan Perindustrian Gebeng, Kuantan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Jun 2021 @ 7:23 PM