GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Zuhainy Zulkiffli

Georgetown: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan mengharamkan penjualan minuman bergula daripada mesin layan diri di hospital, sekolah dan tempat awam.

Ia susulan tindakan yang diambil pihak berkuasa Australia Barat baru-baru ini apabila mengharamkan penjualan minuman bergula sebagai sebahagian daripada langkah dalam memerangi obesiti.

Presidennya Mohideen Abdul Kader berkata, Malaysia perlu mengambil pengajaran kerana negara ini mempunyai kelaziman obesiti tertinggi dalam kalangan orang dewasa di Asia Tenggara.

"Di tengah pandemik Covid-19, terdapat keperluan segera bagi mengekang peningkatan kelaziman obesiti dalam kalangan rakyat," katanya.

Menerusi Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2019, sebanyak 50.1 peratus daripada penduduk dewasa dilaporkan mempunyai berat berlebihan (30.4 peratus) atau obesiti (19.7 peratus).

Mohideen berkata, kewujudan mesin layan diri dipenuhi dengan minuman bergula di tempat awam menjadikan pengguna muda sukar mengawal godaan terhadap minuman itu.

"CAP membuat banyak gesaan sebelum ini supaya mengharamkan penjualan minuman bergula daripada mesin layan diri memandangkan kajian menunjukkan rakyat Malaysia mengambil terlalu banyak gula dalam diet mereka.

"Bagaimanapun, sehingga kini tiada tindakan diambil dan bilangan rakyat Malaysia yang menderita akibat obesiti semakin meningkat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Julai 2021 @ 5:39 PM