Presiden CAP Mohideen Abdul Kader.
Presiden CAP Mohideen Abdul Kader.
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Jabatan Perikanan dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengambil tindakan berkesan bagi mencegah aktiviti pencerobohan bot pukat tunda di Pulau Betong dan Gertak Sanggul di sini.

Masalah yang dihadapi lebih 500 nelayan itu sudah berlarutan sejak 40 tahun lalu walaupun banyak aduan dibuat kepada pihak berkaitan.

Presiden CAP Mohideen Abdul Kader berkata, nelayan yang terbabit mendakwa aktiviti pencerobohan itu kerap berlaku pada waktu malam terutama berhampiran Pulau Kendi di sini, pada jarak antara tiga hingga empat batu nautika dari kawasan pantai.

Menurutnya, nelayan bot pukat tunda terbabit berlabuh dan berehat di pulau berkenaan pada siang hari sebelum meneruskan aktiviti mereka keesokan hari.

"Bot pukat tunda ini menceroboh zon A secara berkumpulan, dipercayai datang dari arah pangkalan Teluk Bahang dan Batu Maung, malah mereka tidak memasang lampu bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

"Berikutan aktiviti itu, pendapatan nelayan merosot lebih 50 peratus kerana ikan dan udang yang menjadi sumber tangkapan utama mereka sudah berkurangan," katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Mohideen berkata, nelayan juga turut mengalami kerugian kerana jaring mereka rosak diancam lumpur, siput duri, sisa kayu dan besi serta berbagai bahan buangan lain selepas bot pukat tunda itu beroperasi.

Katanya, selain merosakkan dasar laut, sesebuah bot pukat tunda memerangkap dan membunuh lebih 60 peratus anak ikan atau benih yang tidak boleh dimakan termasuk jenis ikan berkualiti tinggi seperti senangin, bawal, tenggiri termasuk sotong dan lain-lain.

"CAP kesal walaupun Akta Perikanan 1985 sudah digubal bagi mengawal aktiviti bot pukat tunda daripada melakukan pencerobohan kawasan tangkapan yang ditetapkan, namun kelemahan tindakan penguatkuasaan tidak memberi kesan dan gagal menanganinya.

"CAP menggesa pihak kerajaan mengharamkan segera penggunaan pukat tunda di negara ini supaya nasib nelayan pantai terbela dan sumber perikanan tidak mengalami kepupusan pada masa akan datang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Mac 2021 @ 5:08 PM