Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) melahirkan rasa kecewa apabila keadaan feri Pulau Pinang dilaporkan hampir tenggelam di Limbungan Bagan Dalam, Butterworth, di sini.

Keadaan itu amat memalukan dan menunjukkan pengabaian terhadap nasib feri ikonik itu selain kelalaian pihak pengurusan dan kakitangan yang bertanggungjawab.

Presidennya Mohideen Abdul Kader berkata, pihak berkaitan perlu memberi penjelasan mengenai nasib feri terbabt selain mendedahkan hasil siasatan kepada umum.

Menurutnya, pihak yang bertanggung jawab juga wajar dipecat jika terdapat elemen kecuaian namun sekiranya tidak, maka mereka dianggap tiada akauntabiliti.

"Dilaporkan bahawa feri berkenaan akan diubah fungsinya bagi tujuan lain selepas tidak lagi digunakan dan melihat keadaan terbabit, Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) mungkin tidak berterus terang dalam perkara ini.

"Selain daripada menjaga kepentingan penduduk Pulau Pinang, SPPP dilihat tidak menjaga aset mereka atau mungkin rancangan mereka bagi melupuskan feri itu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohideen berkata demikian berikutan foto tular mengenai keadaan feri berkenaan yang dimasuki air dan hampir tenggelam akibat tidak diselenggara dengan baik.

Ia kemudian mendapat perhatian Pengerusi SPPP Datuk Tan Teik Cheng yang meninjau keadaan itu.

Mohideen berkata, CAP menggesa pihak berkuasa supaya mendedahkan status lengkap feri lain iaitu Feri Pulau Labuan, Pulau Rawa, Pulau Talang-Talang, Pulau Undan, Pulau Rimau, Pulau Angsa, Pulau Kapas, dan Pulau Payar.

Keadaan Feri Pulau Pinang terdampar dengan sebahagiannya ditakungi air di Limbungan Bagan Dalam di sini, kerana ia sudah uzur dan mengalami kebocoran. FOTO DANIAL SAAD
Keadaan Feri Pulau Pinang terdampar dengan sebahagiannya ditakungi air di Limbungan Bagan Dalam di sini, kerana ia sudah uzur dan mengalami kebocoran. FOTO DANIAL SAAD

Katanya, tiada alasan dalam perkara itu sekiranya feri tidak boleh diselenggara dalam keadaan baik walaupun enjinnya tidak dapat dibaiki.

"Adakah akan diumumkan bahawa feri itu akan dijadikan muzium dan paling penting, kenapa badan feri tidak dibaiki sebelum air laut menghakisnya?

"Tidakkah lebih mahal bagi membaiki lubang pada badan feri dan perlu mengepam keluar air laut daripada dalam feri?" katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Jun 2021 @ 6:07 PM