GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Zuhainy Zulkiffli

Georgetown: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa pihak berkuasa mengharamkan rumput tiruan kerana ia memberi kesan buruk kepada alam sekitar selain boleh memudaratkan kesihatan.

Orang ramai juga kurang sedar keburukan rumput tiruan ini yang biasanya digunakan di kawasan kediaman, bangunan dan kawasan rekreasi.

Presiden CAP Mohideen Abdul Kader berkata, di Malaysia, penggunaan rumput tiruan boleh menyumbang kepada banjir memandangkan rumput terbabit tidak menyerap air.

Katanya, rumput tiruan juga boleh memusnahkan mikro-organisma di dalam tanah di bawah rumput yang berbahaya kepada tumbuhan di sekelilingnya, sekali gus menghalang kepelbagaian biologi.

"Rumput tiruan dihasilkan dengan mengikat beberapa jenis plastik bersama-sama dan kerana itu, ia amat sukar untuk dikitar semula selain penggunaan plastik yang tidak perlu juga tidak terbiodegradasi. Ia menambah beban kepada sektor sisa.

"Apabila terurai, ia membebaskan zarah plastik ke alam sekitar seterusnya menjadikannya toksik kepada manusia selain hidupan liar," katanya pada kenyataan hari ini.

Menurut beliau, Persatuan Hortikultur Diraja (RHS) di United Kingdom (UK) baru-baru ini mengharamkan rumput tiruan daripada pertunjukan bunga yang terkenal di dunia atas sebab alam sekitar malah kerajaan negara itu digesa memperkenalkan 'Cukai Kerosakan Ekologi' ke atas import, penjualan dan pemasangan rumput tiruan serta rumput bagi menangani masalah itu.

Mohideen berkata, Majlis Bandaraya Adelaide (ACC) di Australia juga melarang penggunaan rumput tiruan di bahu jalan pada 2019 kerana bimbang dengan pemanasan bandar dan tapak pelupusan.

"Ia berikutan, suhu rumput tiruan lebih tinggi daripada permukaan lain termasuk asfalt, serta jauh lebih tinggi daripada rumput semula jadi.

"Selain menjadi sumber berpotensi toksin penyebab barah, rumput tiruan dihasilkan menggunakan polietilena dalam bentuk pepejal dicairkan, dicampur dengan warna dan bahan kimia lain bagi menjadikannya tahan lama, tahan sinaran UV dan sebagainya," katanya.

Menurut beliau, penggunaan rumput asli mempunyai lebih banyak manfaat dengan 100 peratus semula jadi.

"Rumput hidup membantu menguruskan pencemaran, boleh memerangkap gas berbahaya yang dihasilkan oleh pencemaran serta meredakan banjir," katanya lagi.

Menurut Mohideen, selain menyerap bunyi, ia menyerap hujan dan tanahnya bertindak sebagai 'span' dengan memperlahankan aliran air ke dalam longkang semasa hujan lebat.

"Rumput sebenar mengatasi perubahan iklim kerana menyerap lembapan, karbon dioksida, menghasilkan oksigen, menyejukkan udara, menjadi rumah bagi serangga, memberi makan kepada burung dan berdikari.

"Persekitaran kita semakin ditampal dengan konkrit, asfalt, batu bata dan mortar. Ia memberikan kita ruang hijau yang semakin mengecil bagi hidup sihat. Justeru, janganlah gantikan rumput hidup dengan plastik toksik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Ogos 2022 @ 1:06 PM