FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Lesen operasi 24 jam kepada kedai makan perlu dimansuhkan bagi menangani isu berat badan bertambah, gangguan tidur dan masalah penghadaman.

Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) Mohideen Abdul Kader berkata, pihaknya sudah lama menyeru kerajaan bagi larangan kedai makan beroperasi selama 24 jam.

Menurutnya, ia berdasarkan kajian yang menunjukkan terdapat kesan negatif apabila makan lewat malam.

"Penyelidikan mendapati individu yang makan lewat malam melebihi 40 peratus daripada keperluan tenaga harian mereka, menimbulkan faktor risiko ketara bagi obesiti.

"Tabiat pemakanan tidak sihat dan tidak seimbang selepas makan malam juga dikaitkan dengan risiko penyakit kardiovaskular," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, ketersediaan makanan dan minuman selama 24 jam juga mempunyai implikasi ketara terhadap kesihatan mulut selain ancaman berterusan kepada enamel gigi, meningkatkan risiko kaviti dan jangkitan.

Katanya, pada masa ini rakyat Malaysia berada dalam keadaan tidak sihat kerana mempunyai prevalens obesiti tertinggi di kalangan orang dewasa di Asia Tenggara.

"Berbanding individu berat badan normal, obesiti meningkatkan risiko diabetes tahap dua sebanyak tujuh kali ganda pada lelaki dan peningkatan 12 kali ganda pada wanita.

"Kajian tempatan mendapati bahawa sebanyak 30 peratus daripada pesakit diabetes tahap dua adalah obesiti secara klinikal, manakala obesiti adalah faktor risiko penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti diabetes tahap 2, penyakit kardiovaskular dan kanser," katanya.

Katanya, berikutan situasi dan jumlah tinggi rakyat Malaysia yang terjejas, sebanyak RM9.65 bilion dibelanjakan setiap tahun bagi menangani NCD di negara ini.

"Justeru, CAP menyokong langkah kedai makan memendekkan waktu operasi, namun ia perlu diwajibkan kerana masih terdapat restoran beroperasi selama 24 jam.

"Kerajaan perlu serius mengawal persekitaran yang menggalakkan obesiti dengan mewajibkan semua kedai makan ditutup pada tengah malam dan bukannya dibenarkan beroperasi 24 jam sehari," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 April 2024 @ 3:43 PM