PARLIMEN.
PARLIMEN.
Isma Ismail dan Amir Abd Hamid dan Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Satu usul dan undian khas bagi menentukan tahap sokongan kepada Perdana Menteri perlu dilakukan dalam Mesyuarat Khas Parlimen dalam masa terdekat.

Ini kerana dalam situasi sekarang, sukar untuk menentukan sokongan kepercayaan kepada Perdana Menteri, dilakukan di luar Dewan Rakyat.

Penganalisis Politik Dr Muhammad Fathi Yusof berkata, beberapa faktor perlu diteliti terlebih dulu susulan pengumuman Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa parti itu menarik balik sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) serta-merta.

"Pertamanya, adakah pengisytiharan yang dibuat oleh beliau itu benar-benar mewakili keseluruhan ahli Parlimen dari Umno, atau mewakili sebahagian atau hanya mewakili dirinya sendiri.

"Bagi mereka yang mempunyai jawatan dalam kerajaan seperti menteri, timbalan menteri atau pengerusi agensi kerajaan, pembatalan sokongan perlu ditunjukkan melalui peletakan jawatan.

"Jika pembatalan sokongan hanya membabitkan sebahagian saja, maka perlu ditentukan adakah jumlah yang membatalkan sokongan itu cukup untuk menjadikan Perdana Menteri hilang sokongan majoriti," katanya.

Beliau berkata, dalam situasi politik yang serba tidak menentu ini, perlu juga dilihat kemungkinan ahli-ahli Parlimen yang sebelum ini berada di blok pembangkang, tetapi kini ingin beralih memberikan sokongan kepada Perdana Menteri.

Katanya, dalam keadaan biasa, apabila satu parti besar yang mempunyai jumlah ahli parlimen yang dapat menentukan kedudukan seseorang Perdana Menteri mengumumkan pembatalan sokongan, maka Perdana Menteri berkenaan dianggap sudah kehilangan sokongan atau kepercayaan majoriti.

Menurutnya, Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan menyebut, jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka Perdana Menteri hendaklah meletakkan jawatan Jemaah Menteri melainkan jika atas permintaannya parlimen dibubarkan oleh Yang di-Pertuan Agong.

"Manakala, Perkara 43(2)(a) pula menyebut Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri.

"Faktor kedua yang perlu dilihat ialah soal pengganti. Dalam satu-satu masa, perlu ada kerajaan yang mentadbir. Jika seorang Perdana Menteri hilang sokongan, penggantinya perlu segera dilantik dan mendapat sokongan majoriti anggota Dewan Rakyat.

"Buat masa ini belum nampak seorang tokoh yang benar-benar memenuhi kriteria berkenaan. Bagaimana pun, terpulang kepada kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong untuk menentukan berkenaan soal ini kerana pelantikan Perdana Menteri di bawah Perkara 43(2)(a) adalah termasuk dalam kuasa budi bicara Yang di-Pertuan Agong.

Ditanya mengenai apakah perlu ada Perdana Menteri Interim, beliau berkata, ia tidak perlu dan Perdana Menteri akan kekal sehingga Yang di-Pertuan Agong mempunyai calon lain yang layak pada hemat baginda.

Berita berkaitan:

  • Ismail Sabri, Peguam Negara jumpa Muhyiddin di kediamannya
  • Kediaman Muhyiddin jadi tumpuan
  • Umno tarik balik sokongan, bukan keputusan setiap Ahli Parlimen - Pakar
  • Umno tarik balik sokongan kepada kerajaan PN [METROTV]
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Julai 2021 @ 2:23 PM