Ahmad Zahid Hamidi pada sidang media selepas mesyuarat MKT secara maya.FOTO ihsan Umno
Ahmad Zahid Hamidi pada sidang media selepas mesyuarat MKT secara maya.FOTO ihsan Umno
Amir Abd Hamid dan Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sudah mengutus warkah kepada Yang di-Pertuan Agong, hari ini, bagi mempersembahkan Surat Akuan tambahan sebagai lanjutan warkah sebelum ini.

Katanya, kenyataan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam Perutusan Khas mendakwa kerajaan masih mempunyai majoriti adalah tidak benar.

Menurutnya, Umno mencabar kerajaan untuk segera memanggil Sidang Khas Parlimen bagi membuktikan Perdana Menteri masih mempunyai majoriti tanpa menunggu sehingga Persidangan Parlimen pada September depan.

Beliau berkata, sebelum ini Perikatan Nasional (PN) hanya mempunyai 114 Ahli Parlimen yang menyokong.

"Saya mempersembahkan warkah yang melampirkan lapan Surat Akuan Ahli-Ahli Parlimen Umno kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 30 Julai 2021, bagi menzahirkan penarikan sokongan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

"Ini cukup untuk menunjukkan kepimpinan beliau sudah hilang majoriti, biarpun sebenarnya jumlah berkenaan melebihi daripada itu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahmad Zahid berkata, selepas Majlis Kerja Tertinggi membuat ketetapan mutakhir semalam bagi menarik sokongan terhadap kerajaan PN dan Perdana Menteri atas asas mahu berpihak kepada Yang di-Pertuan Agong, jumlah Surat Akuan Ahli-Ahli Parlimen Umno bertambah.

Terdahulu, Muhyiddin dalam perutusan khasnya berkata, beliau masih mempunyai kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri.

Perkara berkenaan sudah disembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah pada majlis menghadap di Istana Negara, pagi tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Ogos 2021 @ 8:11 PM