DR Shamrahayu. FOTO Arkib NSTP
DR Shamrahayu. FOTO Arkib NSTP
Isma Ismail; Amir Abd Hamid dan Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: "Ini berkaitan dengan kepercayaan kepada Perdana Menteri sebenarnya. Sebab dalam konteks ini untuk menjatuhkan sebuah kerajaan sekarang perlu membuktikan Ahli Parlimen sudah hilang kepercayaan kepada Perdana Menteri," kata Pakar Perlembagaan Persekutuan Prof Madya Dr Shamrahayu Abd Aziz.

Beliau berkata, pengumuman Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menarik balik sokongan serta-merta seolah-olah keputusan parti, bukannya keputusan setiap Ahli Parlimen itu.

"Sebab untuk memberi kepercayaan kepada Perdana Menteri ialah Ahli Dewan Rakyat (Ahli Parlimen). Pada pendapat saya, Ahli Dewan yang hilang kepercayaan kepada Perdana Menteri itu hendaklah menunjukkan dokumen sah iaitu dokumen yang diterima atau diperakui sebagai satu mekanisma undang-undang untuk menunjukkan mereka sudah hilang kepercayaan majoriti.

"Oleh kerana pelantikan Perdana Menteri dahulu berdasarkan kepada kepercayaan majoriti dan sudah dibuktikan melalui dokumen undang-undang iaitu perakuan berkanun (SD), jadi untuk menyatakan sebaliknya ketika ini ia perlu dilakukan semula," katanya ketika dihubungi Harian Metro di sini, hari ini.

Beliau berkata, terdapat dua cara boleh dilakukan iaitu menunjukkan Ahli Parlimen sudah hilang kepercayaan majoriti kepada Perdana Menteri.

Keduanya, beliau berkata, SD itu mungkin dalam bentuk menunjukkan kepercayaan kepada seseorang yang lain untuk menjadi Perdana Menteri.

"Adakah Perdana Menteri Interim adalah satu daripadanya pilihan? Saya mempunyai sedikit pensyaratan kepada Perdana Menteri Interim ini.

"Sebab syarat untuk menjadi Perdana Menteri Interim ini juga, ia tidak ada peruntukkan dalam Perlembagaan. Apabila mahu melantik Perdana Menteri, seseorang itu hendaklah juga pada hemat Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong mempunyai kepercayaan majoriti," katanya.

Beliau berkata, jika dilihat sejarah Malaysia tahun lalu, pada awalnya ramai keliru sama ada ia adalah satu lantikan Perdana Menteri yang seperti biasa atau situasi norma biasa, atau interim dalam bentuk yang macam mana.

Katanya, ini disebabkan ia tiada dalam peruntukkan Perlembagaan.

"Jadi pada hari berkenaan (pelantikan Perdana Menteri interim tahun lalu) mungkin kita melihat kepada kuasa Yang di-Pertuan Agong dalam soal menggunakan kuasa eksekutif.

"Tetapi apabila dilihat kepada warta pelantikan Perdana Menteri Interim pada ketika itu, ia menyatakan bahawa Perdana Menteri itu dilantik di bawah Perkara 43 dalam Fasal 2.

"Perkara 43 dalam Fasal 2 itu, ia mengatakan bahawa seseorang yang menjadi Perdana Menteri itu juga hendaklah mempunyai kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat. Jadi dari segi perundangan saya ada sedikit pensyaratan dalam konteks itu," katanya.

Ditanya sama ada bolehkah kerajaan tumbang ketika pelaksanaan darurat masih berkuat kuasa, beliau berkata, ia boleh berlaku kerana tiada pengecualian yang dibuat dalam Ordinan Darurat mengenai boleh hilangnya kepercayaan majoriti kepada ahli Dewan Rakyat.

Beliau turut menjelaskan kuasa Yang di-Pertuan Agong dalam menentukan siapa yang akan mentadbir kerajaan.

"Dalam keadaan ini kita perlu lihat keadaan sama ada Perdana Menteri sudah sebenarnya hilang kepercayaan majoriti dahulu.

"Justeru, Yang di-Pertuan Agong pada ketika ini, pada saya tidaklah perlu mengambil tindakan sehinggalah isu politik itu dapat diselesaikan oleh orang politik sendiri.

"Jadi dalam menentukan siapa yang akan mentadbir kerajaan dan sebagainya ini, perlulah ditunggu dokumen sah atau yang bersifat perundangan atau diiktiraf dalam perundangan yang menyatakan bahawa Perdana Menteri ketika ini sudah hilang kepercayaan majoriti," katanya.

Selain itu, Shamrahayu berkata, sekiranya Perdana Menteri merasakan beliau patut meletakkan jawatan, perlu juga memaklumkan atau mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

"Dua jalan yang ada sekarang, sama ada daripada Ahli Parlimen itu atau daripada Perdana Menteri," katanya.

Berita berkaitan:

  • Umno tarik balik sokongan kepada kerajaan PN [METROTV]
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Julai 2021 @ 10:26 AM