GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Samadi Ahmad


Sepang: Petugas barisan hadapan sektor pengangkutan udara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA)di sini, meluahkan rasa lega selepas menerima dos suntikan vaksin pertama bermula semalam.

Tinjauan wartawan di Pusat Pemberian Vaksinasi Industri (PPVIN) KLIA mendapati rata-rata yang temui menyatakan rasa gembira dan berterima kasih kepada kerajaan dan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) kerana menyegerakan proses pemberian vaksin.

Polis Bantuan Malaysia Airports Berhad, Ahmad Syukri Salim, 27, menyatakan rasa gembira mendapat dos pertama suntikan kerana sudah sekian lama mendaftar melalui aplikasi MySejahtera.

Ahmad Syukri yang bertugas di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang berkata, sebagai petugas barisan hadapan yang sering berdepan dengan orang ramai setiap hari, dia mengakui gusar kerana belum menerima suntikan.

Menurutnya, dia datang mengambil vaksin bersama isteri, Norliyanti Mhd Noor ,29, yang berkhidmat sebagai polis bantuan.

"Selepas ini kami berdua tidak lagi gusar apabila bersama dengan keluarga selepas pulang kerja," katanya yang sudah sembilan tahun berkhidmat serta mempunyai empat anak chaya mata.

Petugas syarikat Qatar Airways, Farah Sabrina Raymond Rafique, 29, turut meluahkan rasa terima kasih kepada kerajaan dan MHAB kerana menyegerakan suntikan kepada kakitangan yang bertugas di KLIA.

Beliau yang sudah lima tahun berkhidmat di bahagian kaunter sering berasa bimbang sejak pandemik COVID-19 melanda negara berikutan KLIA menjadi pintu masuk utama negara selain perlu berhadapan dengan ramai pelancong luar negara.

Katanya, pelaksanaan PPVIN di KLIA memudahkan pekerja di lapangan terbang itu mendapatkan vaksin tanpa menunggu lama.

Bagi Penyelia Kabin Syarikat penerbangan Malaysia Airlines, Mas Ayu Kamasmaud, 57, menyifatkan PPVIN ini adalah suatu inisiatif yang sangat baik bagi menyegerakan pekerja mendapatkan suntikan, sekaligus dapat mewujudkan imuniti kelompok.

"Selepas mendapat suntikan dos pertama ini kami merasa yakin untuk berkerja terutama ketika berhadapan dengan khalayak," katanya yang sudah 35 tahun berkhidmat dengan Malaysia Airlines.

PPVIN KLIA yang bermula semalam hingga 24 September ini bertujuan mempercepatkan proses vaksinasi kepada 22,243 petugas dalam sektor penerbangan serta berkaitan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Julai 2021 @ 3:56 PM