TINJAUAN pemberian vaksin kepada kakitangan penerbangan di Pusat Pemberian Vaksinasi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). FOTO Mohd Fadli Hamzah
TINJAUAN pemberian vaksin kepada kakitangan penerbangan di Pusat Pemberian Vaksinasi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). FOTO Mohd Fadli Hamzah
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Sepang: Pusat Pemberian Vaksin Industri (PPVIN) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, kini dalam fasa pemberian suntikan dos kedua.

Mula beroperasi sejak 14 Julai lalu, PPVIN ini memberi suntikan vaksin kepada 14,000 komuniti di KLIA antaranya kakitangan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), syarikat penerbangan dan kontraktor di dua lapangan terbang utama negara itu.

Tinjauan hari ini mendapati proses suntikan vaksin diuruskan 85 kakitangan MAHB dan pusat perubatan swasta berjalan lancar.

Hari ini sebanyak 700 suntikan akan diberikan kepada komuniti di KLIA yang kini sudah memasuki fasa suntikan kedua.

Sebanyak 12 stesen suntikan dikendalikan vaksinator perubatan swasta menjadikan proses suntikan mengambil masa yang lebih singkat.

Bagi Eksekutif Operasi Kargo, Siti Erica Mareena Sheikh Haniff, 21, proses vaksinasi berjalan dalam keadaan yang selesa dan cepat.

Menurutnya, dengan lengkapnya vaksin kedua dia berharap operasi kargo dan lapangan terbang akan kembali rancak seperti sebelum ini.

"Saya berharap Malaysia akan cepat keluar dari wabak ini seterusnya memulihkan ekonomi dan sektor terjejas seperti penerbangan.

"Kerajaan juga diharap dapat membuka lebih banyak kelonggaran apabila lebih ramai rakyat yang sudah lengkap divaksin," katanya ketika ditemui di KLIA, hari ini.

Bagi Adib Nafiz Zairul Azman, 27, dia gembira apabila selesai melengkapkan dos kedua hari ini dengan semua proses berjalan lancar.

Katanya, masyarakat diseru untuk mendapatkan vaksin agar pandemik ini segera berakhir.

"Proses suntikan berjalan lancar dan saya diberi penerangan lengkap oleh kakitangan bertugas.

"Saya berharap industri penerbangan dan kargo akan kembali rancak seperti sebelum ini sekali gus dapat membantu orang ramai kembali bekerja," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Ogos 2021 @ 1:53 PM