Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP), Datuk Tan Teik Cheng (dua dari kiri) melihat penerima vaksin Covid-19 ketika  meninjau Pusat Pemberian Vaksin Industri Sektor Pengangkutan Pelabuhan Pulau Pinang (PPVIN) di Swettenham Pier Cruise Terminal, Georgetown pada Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK). FOTO MIKAIL ONG
Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP), Datuk Tan Teik Cheng (dua dari kiri) melihat penerima vaksin Covid-19 ketika meninjau Pusat Pemberian Vaksin Industri Sektor Pengangkutan Pelabuhan Pulau Pinang (PPVIN) di Swettenham Pier Cruise Terminal, Georgetown pada Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK). FOTO MIKAIL ONG
Nur Izzati Mohamad


Georgetown: Pusat Pemberian Vaksin Industri (PPVIN) Sektor Pengangkutan bagi Pelabuhan Pulau Pinang di Terminal Swettenham Pier Cruise, di sini, yang memulakan operasi pertama hari ini akan memberi 200 suntikan dos sehari.

Program suntikan itu dijangka berlangsung selama 27 hari membabitkan 5,434 petugas barisan hadapan sektor berkenaan terdiri pekerja Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP), Penang Port Sdn Bhd (PPSB), pelaut, sektor logistik dan juga komuniti lain yang bekerja di pelabuhan.

Pengerusi SPPP, Datuk Tan Teik Cheng berkata, PPVIN berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Laut Malaysia Wilayah Utara dan PPSB.

"Operasi PPVIN ini akan bermula 8.30 pagi sehingga 2 petang dengan pemberian vaksin sebanyak 200 dos sehari.

"Program ini akan memanfaatkan seramai 5,434 petugas barisan hadapan di Pelabuhan Pulau Pinang sekali gus membantu kerajaan mencapai imuniti kelompok khususnya bagi pekerja di pelabuhan," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Teik Cheng berkata, SPPP berterima kasih kepada semua pihak berkaitan dalam berkongsi sumber manusia, kemudahan dan kelengkapan PPVIN bagi memastikan program vaksinasi berhasil dan terlaksana dengan baik

"Saya berharap program vaksinasi yang bermula di PPVIN Pelabuhan Pulau Pinang ini dapat memberi impak positif terhadap penurunan kes jangkitan Covid-19 dalam kalangan komuniti pelabuhan dan juga sektor pengangkutan di Pulau Pinang," katanya.

Sementara itu, beliau juga berharap pemberian vaksin secara 'walk in' dapat diperluaskan kepada orang ramai berusia 60 tahun ke bawah supaya mencapai imuniti kelompok secepat mungkin.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Ogos 2021 @ 5:00 PM