TAN menyampaikan sumbangan barangan keperluan kepada salah seorang penduduk Flat Taman Medan Jaya di Kota Tinggi, hari ini. FOTO Hazri A Bakar
TAN menyampaikan sumbangan barangan keperluan kepada salah seorang penduduk Flat Taman Medan Jaya di Kota Tinggi, hari ini. FOTO Hazri A Bakar
Hazri A Bakar


Kota Tinggi: "Bantuan ini membolehkan saya menarik nafas lega sedikit," kata Lim Bee Ring, 65, salah seorang daripada 200 penerima bantuan keperluan harian sumbangan Pertubuhan Kebajikan Jiwa Prihatin (PKJP) hari ini.

Bagi pekerja pembaikan rumah itu, kesan pandemik Covid-19 turut dirasainya apabila pendapatannya banyak terjejas susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Katanya, dia yang menerima gaji hari kini tidak dapat bekerja menyebabkan sumber pendapatannya terjejas dan bergantung harap kepada anaknya untuk menanggung pelbagai beban perbelanjaan seperti pinjaman rumah, kereta dan insurans.

"Apabila ada pihak yang tampil memberikan bantuan, orang seperti saya amat berasa lega dan menghargainya.

"Dalam keadaan sekarang, ini bukan kali pertama saya menerima bantuan sumbangan daripada pihak yang prihatin," katanya ketika ditemui selepas menerima bantuan itu.

Manakala bagi surirumah, Nur Aisyah Abdullah, 50, walaupun banyak sektor pekerjaan tidak beroperasi, perbelanjaan untuk keluarga tetap perlu difikirkan.

Katanya, bagi golongan yang terjejas sepertinya, sumbangan dan bantuan daripada pelbagai pihak amat diharapkan.

"Sekurang-kurangan sumbangan keperluan harian dan makanan yang kami terima ini dapat memberi sedikit kelegaan kepada keluarga," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Jiwa Prihatin, Datuk Tan Lek Khang berkata , sebanyak 200 keluarga menerima bantuan itu hari ini membabitkan golongan terjejas akibat PKP 3.0 terutamanya B40.

Beliau yang juga Ahli Majlis Daerah Kota Tinggi berkata, bantuan yang diagihkan itu ialah barang dapur seperti beras, gula pasir, minyak masak dan makanan dalam tin.

"Usaha ini akan diteruskan dari semasa ke semasa dan ia juga tidak tertumpu kepada golongan B40 sahaja, malah kumpulan M40 juga akan dibantu kerana kami sedar mereka juga terkesan," katanya.

Katanya, ia bukan program pertama dijalankan malah ketika Kota Tinggi dilanda banjir awal tahun ini, pelbagai pihak dibantu terutama mangsa banjir.

"Adalah menjadi tanggungjawab pertubuhan bukan kerajaan seperti kami untuk turun membantu usaha yang dijalankan kerajaan bagi meringankan beban rakyat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Jun 2021 @ 2:34 PM