Pengerusi PKJP, Datuk Tan Lek Khang melakukan penyerahan simbolik beras kepada Ketua Srikandi Johor Bahru, Azlinda Abdul Latif bagi program Food Bank pertubuhan itu. FOTO ZAIN AHMED
Pengerusi PKJP, Datuk Tan Lek Khang melakukan penyerahan simbolik beras kepada Ketua Srikandi Johor Bahru, Azlinda Abdul Latif bagi program Food Bank pertubuhan itu. FOTO ZAIN AHMED
Hazri A Bakar


Johor Bahru: Pertubuhan Kebajikan Jiwa Prihatin (PKJP) hari ini menyampaikan sumbangan keperluan asas untuk golongan B40 melalui Food Bank bersempena program Jom Semarakkan Srikandi Untuk Malaysia Prihatin.

Pengerusi PKJP, Datuk Tan Lek Khang berkata, sumbangan sebagai menyokong program komuniti anjuran Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor Bahru yang mengetengahkan aspek kebajikan, pendidikan dan kesihatan.

"Program ini adalah satu inisiatif yang baik bagi membantu pelbagai golongan masyarakat terutama mereka yang terjejas berikutan pandemik Covid-19 melalui syarikat korporat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di bawah satu bumbung.

"Kami berterima kasih kepada Srikandi Johor Bahru yang turut beri peluang untuk turut sama membantu golongan B40 melalui sumbangan keperluan asas untuk mengisi Food Bank mereka," katanya.

Food Bank dikendalikan Srikandi Johor Bahru adalah bagi membantu penduduk sekitar yang tidak berkemampuan mendapatkan bahan keperluan asas seperti beras, tepung, gula pasir.

Menurutnya, PKJP sentiasa turun padang bagi mengenalpasti pelbagai golongan kurang berkemampuan di negeri ini terutama di sekitar Labis, Segamat.

Ia, katanya, sudah dilakukan sejak setahun lalu namun dipergiatkan lagi ketika bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu.

Sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu sehingga kini, PKJP menyalurkan sumbangan barangan keperluan asas kepada lebih 5,000 penerima bagi mengurangkan beban mereka.

Penyerahan sumbangan dibuat di tapak program di Pusat Kesihatan Komuniti Azlinda (Azlinda Unity Wellness Center) di Taman Suria, Johor Bahru,

Perasmian Jom Semarakkan Srikandi Untuk Malaysia Prihatin disempurnakan Ketua Srikandi Johor Bahru, Azlinda Abdul Latif yang juga Setiausaha Politik Perdana Menteri.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 September 2020 @ 5:23 PM