BANTUAN kepada semua golongan tanpa mengira kaum atau agama.
BANTUAN kepada semua golongan tanpa mengira kaum atau agama.
Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Pengalaman dilahirkan dalam keluarga susah membuatkan Datuk Tan Lek Khang tidak lokek berkongsi rezeki bersama mereka memerlukan tanpa mengira bangsa mahupun agama.

Ahli perniagaan berusia 36 tahun itu menubuhkan Pertubuhan Kebajikan Jiwa Prihatin (PKJP) bagi menggerakkan misi menyantuni masyarakat di sekitar Labis, Segamat, Johor sejak 2018.

Keperibadian beliau itu cukup disenangi hingga mendapat jolokan pelbagai nama seperti Ah Tan, Atan dan Ane dalam kalangan penduduk setempat daripada pelbagai bangsa.

Menurut Pengerusi PKJP itu, kesedaran mengenai perpaduan adalah tunjang keharmonian kepada pembentukan negara hingga menjadi pegangan utama beliau ketika turun padang menyantuni mereka memerlukan tanpa melihat kepada warna kulit.

"Saya sendiri berasal daripada keluarga susah. Saya tahu bagaimana sesebuah keluarga bergelut ketika susah apatah lagi buat ketua keluarga yang perlu menyediakan makanan di atas meja untuk keluarga.

"Saya berpegang kepada nasihat seorang sahabat saya, kita tidak akan miskin jika selalu bersedekah dan ia dibuktikan melalui pelbagai bantuan yang saya salurkan kepada masyarakat," katanya.

LEK Khang turun padang bantu masyarakat.
LEK Khang turun padang bantu masyarakat.

Katanya, idea menubuhkan PKJP tercetus selepas seorang daripada pekerjanya berkongsi kisah kesempitan hidup sebuah keluarga pada 2018.

"Apabila turun membantu, saya dapati ramai lagi golongan memerlukan hingga mencetuskan idea membuka sebuah pusat bantuan di bawah seliaan PKJP bagi membantu masyarakat secara berterusan.

"Setiap kali datang membantu, kami tidak mengira bangsa mahupun agama. Kami lihat mereka hanya sebagai rakyat Malaysia kerana inilah semangat yang perlu ada dalam setiap orang di negara ini.

"Saya juga tidak kekok ke surau, kuil dan gereja bagi membantu kerana melaluinya kita akan memahami agama lain sekali gus dapat menerapkan rasa hormat kepada agama lain dalam pasukan saya," katanya.

Lek Khang berkata, pasukannya juga terdiri daripada sukarelawan pelbagai bangsa sekali gus menggambarkan keharmonian perpaduan di negara ini.

LEK Khang turun padang bantu masyarakat.
LEK Khang turun padang bantu masyarakat.

"Struktur kepelbagaian bangsa itu amat membantu kami berinteraksi dengan warga emas di Labis dan meyakinkan golongan itu kami sentiasa ada untuk membantu mereka.

"Sehingga kini, PJKP sudah membantu kira-kira 15,000 keluarga di Labis antaranya menyalurkan bantuan keperluan harian, bantuan sekolah, bantuan gajet bagi pelajar sekolah, rakyat termiskin dan wang tunai.

"Ketika negara dilanda Covid-19 Mac tahun lalu, kami juga tidak ketinggalan turun ke padang menyalurkan pelbagai bantuan termasuk makanan kepada mereka yang terjejas dan memerlukan akibat pandemik itu," katanya.

Lek Khang yang mengusahakan kilang pengeluaran keropok udang berkata, dana menggerakkan misi bantuan pertubuhan berkenaan disokong menerusi hasil perniagaannya selain sokongan rakan perniagaan lain yang turut sama-sama menyalurkan dana.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Ogos 2021 @ 7:02 AM