AFFENDI ketika temubual yang disairkan di Facebook. FOTO Facebook Akademi Profesor Malaysia
AFFENDI ketika temubual yang disairkan di Facebook. FOTO Facebook Akademi Profesor Malaysia
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Kerjasama erat antara agensi bukan saja mampu mengekang penularan Covid-19 malah memperkukuhkan keselamatan negara.

Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, sejak pandemik Covid-19 melanda negara, kerjasama pelbagai agensi kerajaan termasuk kesihatan dan keselamatan terus diperkukuhkan.

Menurutnya, menerusi National Task Force (NTF) kolaborasi antara agensi membolehkan negara menangani Covid-19 dan dalam masa sama memastikan keamanan terus terpelihara.

"Dalam konteks ATM, kami bekerjasama dengan pelbagai agensi seperti Kementerian Kesihatan Malaysia untuk membantu meningkatkan fasiliti perubatan yang semakin tenat.

"Walaupun keupayaan perubatan ATM kecil namun ia boleh membantu penggunaan fasiliti kesihatan sedia ada," katanya dalam Temu Bual Bersama PAT: Impak Covid-19 kepada Pertahanan dan Keselamatan Negara anjuran Akademi Profesor Malaysia, hari ini.

Program berkenaan dikendalikan Pengarah Pusat Jaringan Akademik dan Antarabangsa Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Datuk Akhtar Zainudin.

Dalam pada itu, Affendi berkata, ATM juga terus komited untuk memastikan aset pertahanan negara berada dalam keadaan bersiap sedia menjaga kedaulatan negara.

Beliau berkata, pertahanan dan keselamatan yang kukuh meningkatkan keyakinan pelabur luar untuk terus melabur di Malaysia.

Katanya, kesiapsiagaan aset pertahanan juga perlu dipertingkatkan agar sumber ekonomi negara seperti di Laut China Selatan terus terpelihara.

"Kira-kira 30 peratus keluaran negara kasar (GDP) negara berada di Laut China Selatan seperti industri minyak dan gas serta perikanan.

"Jadi ATM perlu meningkatkan kehadiran di kawasan itu untuk memastikan sumber ekonomi negara terjaga," katanya.

Dalam pada itu, Affendi turut berterima kasih kepada pegawai dan anggota ATM yang terus berusaha membantu mengekang wabak Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Jun 2021 @ 12:59 PM