AFFENDI. FOTO Arkib NSTP
AFFENDI. FOTO Arkib NSTP
Muhaamad Hafis Nawawi

ANGKATAN Tentera Malaysia (ATM) tidak akan sesekali berkompromi dengan mana-mana pegawai dan anggota yang bersekongkol dengan pendatang asing tanpa izin (Pati) atau apa jua kegiatan jenayah.

Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, ketegasan itu penting kerana ia mencemarkan imej ATM sebagai pasukan keselamatan yang bertanggungjawab memastikan kedaulatan dan kesejahteraan negara sentiasa terpelihara.

Menurutnya, ATM menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk sebarang tindakan lanjut supaya mereka terbabit secara langsung atau tidak langsung dengan sindiket penyeludupan Pati ini ditangani.

"Penahanan mereka yang bersekongkol dengan Pati ini juga menunjukkan keberkesanan Operasi Benteng di mana ia membuktikan kesepaduan agensi penguatkuasaan dan keselamatan.

"Malah ia bukan sahaja memperkukuhkan kawalan operasi persempadanan negara tetapi turut memperkasakan ketelusan dan nilai integriti terutama dalam kalangan pegawai serta anggota ATM dalam melaksanakan apa jua tugas yang diamanahkan," katanya kepada Harian Metro.

Mengulas mengenai kawalan persempadanan Affendi berkata, operasi kawalan persempadanan yang diperketatkan di daratan dan perairan negara dilaksanakan susulan arahan Perdana Menteri pada 10 April lalu.

"Arahan ini dikeluarkan bagi mengelak Pati membolosi sempadan negara melalui 'lorong tikus' sekali gus memberi ruang membawa masuk Covid-19.

"Seperti dinyatakan sebelum ini, operasi bersepadu ini atau dikenali sebagai Operasi Benteng diselaraskan oleh ATM sebagai yang mengetuai agensi melalui penubuhan National Task Force (NTF) yang diterajui Panglima Armada Barat Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Datuk Aris Adi Tan Abdullah.

"Bagaimanapun, penugasan ini bukan perkara baharu yang memerlukan penambahan dan penempatan atur gerak anggota seperti mana penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini, di mana kita menggerakkan lebih 7,000 anggota membantu PDRM dalam melaksanakan Sekatan Jalanraya (SJR) dan Rondaan Bersama melalui Mobile Patrol Vehicle (MPV)," katanya.

Beliau berkata, kawalan operasi persempadanan ini baik daratan, perairan mahupun ruang udara telah dilaksanakan sejak dahulu lagi yang bukan sahaja melibatkan ATM malah agensi keselamatan lain terutamanya Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

"Justeru, arahan memperketatkan kawalan persempadanan ini bukan merupakan arahan atau tugas tambahan tetapi tambahan kepada usaha memperketatkan atau mempergiatkan kawalan kemasukan ke atas orang-orang yang keluar masuk melalui persempadanan Malaysia sama ada melalui laluan sah mahupun jalan tikus bagi mengekang penularan wabak Covid-19 terutamanya yang berkemungkinan besar dibawa oleh Pati.

"Secara amnya, Operasi Benteng yang dilaksanakan ini berjaya mencegah cubaan kemasukan Pati ke Malaysia di mana aset yang diaturgerakkan di samping penggunaan dron dan radar pengesan telah digunakan secara optimum oleh semua agensi yang terlibat dalam operasi ini," katanya.

Katanya, penyatuan ini juga berjaya memberi amaran awal kemasukan mereka melalui konsep operasi yang praktikal iaitu memperkasakan kaedah pencegahan, pengesanan dan penghindaran.

"Begitu juga dengan kerjasama dengan negara jiran adalah amat baik yang mana Malaysia mengguna pakai platform bilateral sedia ada untuk mengukuhkan lagi kerjasama yang terjalin sekian lama di dalam pengawasan sempadan daratan dan maritim negara.

"Bagaimanapun setiap agensi yang terlibat dalam operasi ini termasuklah ATM sendiri sentiasa memastikan kesiagaan anggota dan aset sentiasa dalam keadaan terbaik untuk kita menghadapi apa jua situasi. Selagi musuh utama iaitu wabak pandemik Covid-19 ini belum berakhir, Operasi Benteng ini akan dipertingkatkan dan dipergiatkan kawalannya," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Jun 2020 @ 3:38 PM