GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Terengganu: Trend penurunan kes positif Covid-19 kepada hanya dua digit di Terengganu selama 11 hari berturut-turut (sejak 11 Jun) bukanlah 'lampu hijau' untuk penduduk di negeri ini mula mengambil remeh pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu Dr Nor Azimi Yunus berkata, ia berikutan masih wujud kluster baharu antaranya di mukim Serada di daerah Kuala Terengganu iaitu Kluster Beladau Selat dan Kluster Tanjung Ketum.

"Melihatkan trend penurunan ini, mungkin ramai yang berharap kita akan mencapai angka sifar dalam sedikit masa lagi. Kita pun berharap begitu. Tetapi kluster baharu sentiasa wujud dan penularan pula masih berkisar kepada jangkitan keluarga yang besar.

"Akhirnya Covid-19 menjangkiti rakan sekerja dan kontak sosial. Ini menunjukkan masih ada pertemuan antara beberapa keluarga dan pematuhan SOP di tempat kerja pula masih longgar," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sehingga kini, 75 kes positif Covid-19 telah dikesan daripada dua kluster tersebut dan aktiviti saringan bersasar masih dilakukan.

Tambah Dr Nor Azimi, situasi Covid-19 di Terengganu boleh dikatakan berjaya dikawal apabila hanya melaporkan kes harian satu angka dan tiada lagi kluster baharu yang wujud dalam tempoh seminggu.

"Namun, untuk mencapai matlamat ini kita perlukan kerjasama semua pihak termasuk penduduk agar tampil membuat ujian calitan sekiranya diarah berbuat demikian.

"Malangnya, masih ada yang enggan menyebabkan pihak berkuasa perlu datang dari satu rumah ke satu rumah untuk menjemput mereka membuat ujian calitan sedangkan perkara ini tidak sepatutnya berlaku jika penduduk memberi kerjasama penuh untuk memutuskan rantaian Covid-19 secepat mungkin," katanya.

Tambahnya, pematuhan SOP perlu sentiasa diamalkan untuk mencapai angka satu digit sahaja kes positif dalam masa terdekat.

Semalam, Terengganu merekodkan pertambahan 18 kes positif COVID-19 menjadikan jumlah kes aktif ketika ini ialah sebanyak 449 kes.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Jun 2021 @ 1:10 PM