Foto hiasan
Foto hiasan
Baharom Bakar

Kuala Terengganu: Penganjuran majlis berbuka puasa yang dihadiri 20 orang menyebabkan 78 individu kini positif Covid-19, manakala 496 lagi dikesan sebagai kontak rapat hingga tercetusnya Kluster Bukit Pauh di Dungun.

Kes yang berlaku di Dungun itu merebak ke Kuala Terengganu apabila dua orang disahkan positif Covid-19 selepas menghadiri majlis diskusi dan moreh bersama beberapa individu yang positif di sebuah kedai makan di kawasan bandar raya ini.

Pengarah Jabatan Kesihatan Terengganu Dr Nor Azimi Yunus berkata, kes harian Covid-19 di negeri ini mencatatkan tiga angka dalam tempoh dua hari mulai semalam dan dianggarkan akan terus kekal sehingga esok.

Menurutnya, seramai 14 orang pesakit Covid-19 sedang menjalani rawatan di wad kecemasan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

"Apapun kami tidak terkejut langsung disebabkan tatakelakuan masyarakat sendiri yang memberi ruang dan peluang pandemik Covid-19 bersuka ria di negeri ini.

"Saya kongsi kisah kluster yang mengesahkan tiada pematuhan prosedur operasi standard (SOP) hingga menyebabkan penularan Covid-19 di negeri ini berlaku dengan pantas," katanya melalui catatan Facebook miliknya hari ini.

Dr Nor Azimi berkata, kes di Marang hingga menyebabkan 26 disahkan positif dan seramai 283 orang kontak rapat dikesan berlaku pada majlis berbuka puasa di sebuah surau.

"Mereka memasak menyediakan juadah berbuka puasa beramai-ramai dan melakukan pelbagai aktiviti sebelum menyambut ketibaan Aidilfitri pada Khamis lalu, akhirnya terpaksa menyambut Syawal di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC).

"Saya juga ingin berkongsi maklumat mengenai kegiatan melepak membabitkan 18 orang di semua rumah kosong di Setiu," katanya mengesahkan 17 daripada mereka positif Covid-19, manakala seramai 162 menjadi kontak rapat.

Mengulas lanjut, Dr Nor Azimi berkata, berpuluh lagi kisah punca berlakunya perebakan pandemik Covid-19 boleh dikongsi dan dijadikan iktibar untuk mengesahkan bahawa tiada pematuhan SOP dalam kalangan masyarakat.

"SOP semua ke laut...sebab apa ke laut, sebabnya mereka tak cakna, bersikap sambil lewa dan perlekehkan pematuhan yang mereka anggap sebagai rekaan dan menyusahkan.

"Kita tak tahu status kawan kita masa majlis sosial seperti di atas....kita hanya tahu bila mereka disahkan positif, akhirnya kita menjadi kontak rapat dan lebih malang jika nasib tak baik kita pula disahkan positif," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Mei 2021 @ 9:59 PM