DR Noor Hisham. FOTO Luqman Hakim Zubir
DR Noor Hisham. FOTO Luqman Hakim Zubir
Shamran Sarahan dan Amir Abd Hamid dan Mahaizura Abd Malik


MALAYSIA menuju ke arah mencapai angka satu digit kes positif Covid-19 baharu secara harian, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, pencapaian itu dilihat berdasarkan sasaran dua minggu trend penurunan kes dan kes positif harian direkodkan bermula 4 Mei lalu hingga kini.

Katanya, walaupun trend penurunan kes tidak seperti disasarkan, namun setakat ini tiada lonjakan mendadak kepada tiga angka berbanding ketika minggu permulaan Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan, Mac lalu.

"Seperti yang kita tengok (data kes), kita masih berada pada sasaran dua minggu sejak 4 Mei lalu hingga sekarang.

"Kes tidak meningkat, tetapi pada masa sama tidak menurun cepat seperti yang kita mahukan," katanya pada sidang media harian perkembangan Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, negara mampu mencapai sasaran itu jika orang ramai terus mematuhi peraturan dan prosedur operasi standard (SOP).

"Saya gembira jika kita berada di bawah 50 kes positif baharu. Tetapi sudah tentu (mahukan) sasaran lebih rendah daripada angka itu.

"Kita pasti mampu mencapainya apabila orang ramai bersama-sama mematuhi SOP yang dikeluarkan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mei 2020 @ 7:43 PM