GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menyediakan khidmat kaunseling kepada mereka yang terkesan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ia dikendalikan pakar dari Lembaga Kaunselor Malaysia dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia bagi membantu mereka yang memerlukan bimbingan.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, selain itu pihaknya juga menyediakan slot di stesen televisyen tempatan bagi membolehkan orang ramai mengemukakan soalan kepada kaunselor bertauliah.

"Kita memahami tekanan yang dihadapi ketika pandemik, jadi kaunselor di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) seluruh negara sedia membantu.

"Kita juga ada Talian Kasih 15999 yang sentiasa bersedia mendengar luahan permasalahan rakyat terutama yang terkesan akibat Covid-19.

"Selain itu kita juga ada talian hotline 0192615999 untuk mereka mendapatkan bantuan termasuk bimbingan kaunseling yang dikendalikan pakar kita," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan muka depan Harian Metro mengenai peningkatan kes kesihatan mental serta hilang pertimbangan diri akibat PKP sejak beberapa bulan lalu.

Ia didedahkan badan bukan kerajaan, Social Community Programs Urban Society Malaysia (Scoprus) dan Intelek Muda Nasional (Intelek) yang menerima banyak aduan pengadu yang ingin mengambil langkah drastik keluar dari masalah hidup.

Katanya, pihaknya juga menerima banyak aduan mengenai hilang pertimbangan hidup menerusi talian kasih.

"Justeru kita minta mereka yang mempunyai masalah untuk menghubungi kita bagi mendapatkan bantuan. Selain kaunseling, kita di kementerian ini juga menyediakan bakul makanan bagi meringankan beban ditanggung," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Jun 2021 @ 1:06 PM