GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Persatuan Ulama Malaysia (PUM) meminta pihak berwajib mewujudkan kerjasama pelbagai agensi berkaitan bagi menangani isu mengambil tindakan sendiri selepas hilang pertimbangan hidup.

Presidennya Datuk Sheikh Abdul Halim Abdul Kadir berkata, selain itu kementerian berkaitan perlu menggerakkan skuad prihatin rakyat atau skuad penyayang bagi memberikan nasihat kepada yang memerlukan sebagai langkah pencegahan, pemulihan serta pemberian skim bantuan yang sewajarnya.

Katanya, penerangan mengenai isu tekanan hidup sehingga ada yang sanggup membuat tindakan luar jangka perlu dipergiatkan di dalam media massa agar rakyat mengetahui di mana tempat mereka boleh mengadu.

"PUM merasa bimbang terhadap laporan beberapa media yang menyatakan bahawa terdapat peningkatan kes hilang kawalan dan pertimbangan hidup sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dihadapi oleh seluruh rakyat Malaysia ketika ini.

"Masalah kebimbangan dan kemurungan yang dihadapi rakyat ketika ini. Ia boleh berlaku di atas banyak faktor, seperti hutang, kehilangan pekerjaan, kehilangan sumber pendapatan dan sebagainya," katanya ketika dihubungi.

Muka depan Harian Metro Selasa lalu melaporkan terdapat peningkatan kes kesihatan mental serta hilang pertimbangan diri akibat PKP sejak beberapa bulan lalu.

Ia didedahkan badan bukan kerajaan, Social Community Programs Urban Society Malaysia (SCOPURS) dan Intelek Muda Nasional (Intelek) yang menerima banyak aduan pengadu yang ingin mengambil langkah drastik keluar dari masalah hidup.

Syeikh Abdul Halim berkata, pihak berkuasa juga perlu mempercepatkan vaksinasi kepada golongan agamawan, seperti imam dan jawatankuasa agar masjid dapat dibuka segera kepada orang awam dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan bagi mengawal gejala kebimbangan dan kemurungan yang berlaku dalam masyarakat.

Katanya, pihaknya bersedia membantu dalam perkara itu bagi memastikan isu berkenaan dapat diatasi sebaik mungkin.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Jun 2021 @ 2:00 PM