RINA ketika menyampaikan sijil kepada penerima selepas merasmikan Majlis Sambutan Bulan Kaunseling Kebangsaan 2022 di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
RINA ketika menyampaikan sijil kepada penerima selepas merasmikan Majlis Sambutan Bulan Kaunseling Kebangsaan 2022 di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Samadi Ahmad

Putrajaya: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) memerlukan 60,000 kaunselor bagi membantu menangani masalah kesihatan mental rakyat.

Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, KPWKM melalui Lembaga Kaunselor berjaya mendaftarkan seramai 10,136 kaunselor berdaftar sehingga 31 Ogos lalu dan akan terus mempertingkat usaha untuk menambah bilangannya bagi menampung keperluan semasa.

Menurutnya, antara usaha dilaksanakan adalah menambah baik proses pendaftaran kaunselor dengan melaksanakan tindakan seperti menerima permohonan dan melaksanakan seisi pengesahan kelayakan kaunselor secara dalam talian.

Katanya, kementerian turut menyarankan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menawarkan program latihan kaunselor di peringkat ijazah pertama dan ijazah sarjana di institusi pengajian tinggi awam serta swasta.

"Kaunselor berdaftar ini perlu dibekalkan dengan pengetahuan, kemahiran serta nilai amalan profesional melalui program latihan yang terancang dan sistematik bagi memastikan mereka dapat memberikan perkhidmatan yang profesional, terbaik dan beretika kepada masyarakat," katanya pada sidang media selepas merasmikan Sambutan Bulan Kaunseling Kebangsaan 2022 di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Setiausaha KPWKM Datuk Dr Maziah Che Yusoff dan Presiden Lembaga Kaunselor Prof Madya Dr Wan Marzuki Wan Jaafar dan Presiden Persatuan Kaunseling Malaysia Antarabangsa (Perkama) Datuk Dr Abd Halim Mohd Hussin.

Sambutan Bulan Kaunseling Kebangsaan diadakan pada setiap Oktober bertujuan meningkatkan profesion kaunseling di Malaysia selain membangkitkan serta mempertingkatkan kesedaran kepada masyarakat umum terhadap kepentingan perkhidmatan kaunseling.

Rina berkata, KPWK melalui Lembaga Kaunselor sentiasa menggiatkan usaha perkhidmatan kaunseling dan sokongan psiko-sosial secara berterusan bagi mengurangkan kesan psikologi di alami rakyat bermula pandemik Covid-19 melalui pelbagai cara dan medium.

Menurutnya, antaranya seperti mengadakan khidmat sokongan psikologi secara dalam talian dan program sokongan psikososial melalui media elektronik, media cetak serta media sosial.

Katanya, sepanjang 2021 hingga Jun 2022 sebanyak 64,537 kes intervensi kaunseling sudah dikendalikan agensi di bawah KPWKM.

"Kementerian juga mewujudkan Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) bertujuan membantu melaksanakan aktiviti dan program pencegahan dalam komuniti dan khidmat kaunseling komuniti sebagai satu budaya dalam kehidupan masyarakat," katanya.

Rina berkata, program itu bukan sahaja memberi manfaat kepada kaunselor, malah ia berupaya untuk meningkatkan kesedaran masyarakat kepada kepentingan kaunseling sebagai kaedah intervensi yang dapat membantu meningkatkan kesejahteraan individu dan masyarakat.

Katanya, kementerian bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui jawatankuasa yang dibentuk bagi menyalurkan maklumat kepada komuniti untuk menangani kes bunuh diri yang semakin meningkat ketika ini.

"Selain itu kementerian turut turun padang bersama kaunselor untuk bertemu rakyat menerusi PSSS," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Oktober 2022 @ 2:54 PM