MOHAMMAD Fadly menyampaikan bantuan kepada Mardyah (dua dari kiri) di rumahnya di Pulau Pinang, semalam. FOTO ihsan Intelek
MOHAMMAD Fadly menyampaikan bantuan kepada Mardyah (dua dari kiri) di rumahnya di Pulau Pinang, semalam. FOTO ihsan Intelek
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Ibarat jatuh ditimpa tangga. Itu berlaku kepada ibu tunggal berstatus orang kurang upaya (OKU) penglihatan, Mardyah Radi, 47, yang kini tidak lagi mempunyai pendapatan tetap.

Kehidupannya berubah selepas anaknya hilang pekerjaan akibat Covid-19 dan hanya bergantung kepada bantuan RM300 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta belas ihsan jiran tetangga serta rakan.

Katanya, pelbagai keperluan asas seperti bil utiliti tidak dapat dibayar kerana tidak mempunyai wang yang mencukupi.

"Saya terpaksa mencatu kos perbelanjaan termasuk bagi rawatan mata," katanya ketika menerima kunjungan Pengerusi Intelek Muda Nasional (Intelek) Mohammad Fadly Mohd Zain di Simpang Ampat, Pulau Pinang, semalam.

Menurutnya, keadaan hidupnya semakin terjejas setiap hari sehingga bekalan elektrik di rumahnya dipotong sejak awal tahun lalu.

Katanya, sebagai alternatif, dia hanya bergantung kepada ubat bermutu rendah, berbanding yang disyorkan pakar mata.

Sementara itu, Mohammad Fadly berkata, pihaknya menerima banyak kes seperti itu sejak bulan lalu.

"Ini realiti kehidupan golongan ibu tunggal dan OKU yang turut terkesan akibat pandemik Covid-19.

"Intelek memahami situasi golongan ibu tunggal OKU ini dan kedudukannya terpinggir dalam masyarakat selain tidak mempunyai alternatif lain kecuali mengharapkan bantuan daripada orang sekeliling.

"Atas sifat ingin membantu memberi bantuan segera melalui sekretariat yang bergiat aktif di Pulau Pinang, kita mengambil langkah menggerakkan segala usaha yang ada, termasuk penghantaran bantuan bekalan makanan dan memberi bantuan kewangan sementara.

"Kami juga memberikan sokongan moral kepada Mardyah dan keluarganya melalui dana projek Bantuan Kasih PKP yang dilancarkan sejak 2020. Kita juga difahamkan pihak Pusat Zakat akan meneliti semula kedudukannya dalam masa terdekat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Julai 2021 @ 7:26 PM