KAUNSELOR TH juga melakukan lawatan atau ziarah dari bilik ke bilik jemaah bagi bertemu serta memberi motivasi kepada mereka. FOTO Tabung Haji
KAUNSELOR TH juga melakukan lawatan atau ziarah dari bilik ke bilik jemaah bagi bertemu serta memberi motivasi kepada mereka. FOTO Tabung Haji
Yusri Abdul Malek


MASALAH dengan rakan sebilik, merokok, hubungan suami isteri, anak atau menantu dan tiada persefahaman adalah antara aduan yang dirujuk ke Unit Kaunseling Tabung Haji (TH).

Kebanyakan jemaah dikatakan mengalami kejutan budaya terutama bagi mereka yang pertama kali berada di Tanah Suci.

Unit Kaunseling TH ini bertindak sebagai sokongan psikologi bagi menangani pelbagai masalah emosi yang dialami jemaah.

Ketua unit berkenaan, Fauziah Ahmad berkata, pihaknya menyediakan tujuh kaunselor bertauliah daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk memberi kaunseling kepada jemaah yang ada masalah tertentu.

"Biasanya kaunseling yang diberikan dibahagikan kepada dua iaitu secara individu dan berkelompok atau berkumpulan.

"Malah kita juga menyediakan perkhidmatan dalam talian bagi membolehkan jemaah menghubungi kaunselor bagi meluahkan apa masalah dialami.

"Sesi kaunseling adalah satu kaedah bagi membantu jemaah yang nemerlukan rakan mendengar yang boleh dipercayai untuk meluahkan perasan dan meredakan keresahan hati. Ini akan membantu jemaah fokus atau menumpukan sepenuh tumpuan untuk melakukan ibadah dam menyempurnakan haji," katanya ketika ditemui di Pusat Perkhidmatan Kaunseling di Abraj Al-Janariyah, Makkah.

Beliau berkata, setakat ini, 39 kes ditangani unitnya dan kebanyakan kes adalah masalah rakan sebilik.

Selain menunggu jemaah datang membuat laporan atau aduan, mereka juga melakukan lawatan atau ziarah dari bilik ke bilik jemaah bagi bertemu serta memberi motivasi kepada mereka.

"Jika dalam lawatan itu ada tanda-tanda gangguan emosi, kami akan segera memberi kaunseling," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Julai 2019 @ 8:32 AM