GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Melvin Joni


Kuching: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bercadang melaksanakan Projek Destinasi Rintis Bebas Covid-19 di bandar raya Kuching, selain Pulau Langkawi.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri berkata, projek ini bagi memulihkan semula industri pelancongan serta menggalakkan rakyat, warganegara asing yang berada di Malaysia dan pelancong asing untuk melancong ke Malaysia.

"Pemilihan Kuching dibuat memandangkan ia terletak di laluan integrasi nasional, sekaligus dilihat dapat meningkatkan lagi perpaduan rakyat di negara ini menerusi sektor pelancongan dan kebudayaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata, pemilihan Kuching selepas Langkawi juga adalah seiring dengan usaha mengangkat bandar raya ini sebagai satu daripada jaringan bandar raya kreatif di peringkat UNESCO dan ASEAN di bawah kategori gastronomi pada masa terdekat.

Malah, katanya kekayaan biodiversiti yang mempunyai pelbagai tumbuhan herba turut memberi nilai tambah kepada Kuching.

Nancy berkata selain Kuching dan Pulau Langkawi, kementeriannya turut mempertimbangkan destinasi pelancongan lain dan sedang mendapatkan maklum balas daripada semua kerajaan negeri berkaitan lokasi tarikan pelancong untuk diketengahkan selepas projek rintis ini dilaksanakan.

Katanya pembukaan destinasi lain tertakluk kepada tahap keselamatan lokasi pelancongan di mana kerjasama kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan memainkan peranan penting.

"Kita bukan sahaja melihat kepada keselamatan penduduk tempatan tetapi juga kepada aspek pasaran yang boleh diterima seperti pelancong yang sudah divaksin sebagai sasaran utama," katanya.

Manakala menjelas mengenai pemilihan Pulau Langkawi sebagai destinasi perintis pertama, Nancy berkata pulau peranginan itu mempunyai kekuatannya yang tersendiri seperti mempunyai rangkaian penerbangan serantau dan antarabangsa, serta kepelbagaian kemudahan penginapan bagi lapisan segmen pelancong.

Beliau berkata projek ini akan diperluas ke destinasi pelancongan utama lain termasuk pulauperanginan yang menjadi tumpuan pelancong seperti Pulau Redang, Pulau Pangkor, Pulau Tioman dan lain-lain lagi mengikut kesesuaian.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Jun 2021 @ 12:45 PM