X
Hazira Ahmad Zaidi
am@hmetro.com.my


Kota Bharu: Kerajaan akan menjadikan Gelembung Pelancongan Antarabangsa bagi Projek Rintis Pulau Langkawi sebagai penanda aras sebelum sempadan negara dibuka kepada pelancong luar.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pulau peranginan itu akan dibuka kepada pelancong dari semua negara pada pertengahan bulan depan.

Katanya, pihaknya perlu menilai prestasi Pulau Langkawi yang dibuka kepada pelanconga domestik bermula 16 September lalu, selain perlu berhati-hati disebabkan masih banyak negara berdepan gelombang keempat Covid-19.

"Jika boleh kita tidak mahu menjadi seperti negara lain apabila menerima kemasukan pelancong dari luar negara memandangkan kita baharu sahaja hendak kurangkan kes, tetapi penularan wabak kembali meningkat dan kita perlu berhati-hati menguruskan kes Covid-19.

"Sebelum ini, kita hendak buka kepada negara lain, namun mereka pun berhati-hati dalam situasi penularan kes Covid-19 yang melanda seantaro dunia, dan saya juga melihat banyak negara lain yang baharu membuka sektor pelancongan terpaksa ditutup semula.

"Bagaimanapun, buat masa ini, Pulau Langkawi masih dibuka kepada semua negara dan pada masa sama turut berpandukan kepada garis panduan serta nasihat Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan sebagai langkah pencegahan, berkemungkinan perlu mengehadkan kemasukan pelancong dari negara-negara tertentu atas sebab tertentu dari semasa ke semasa bagi mencegah penularan wabak Covid-19," katanya.

DATUK Seri Nancy Shukri (dua dari kiri) melihat sebahagian barangan jualan atas bot. FOTO Bernama
DATUK Seri Nancy Shukri (dua dari kiri) melihat sebahagian barangan jualan atas bot. FOTO Bernama

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Program Merakyatkan Seni Budaya di Pengkalan Datu, di sini, hari ini.

Nancy berkata, pada masa sama, pihaknya juga memahami situasi yang dihadapi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) dalam tempoh pandemik dan sebaik kerajaan membenarkan rentas negeri, mereka amat mengharapkan kemasukan pelancong untuk menghidupkan kembali sektor pelancongan negara.

"Namun, kita perlu berhati-hati serta menjalinkan kerjasama dengan kementerian berkaitan dan dalam masa sama turut mencadangkan tempat-tempat pelancongan yang perlu dibuka, tetapi ia terpulang kepada MKN untuk meluluskannya," katanya.

Media sebelum ini melaporkan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik Covid-19 bersetuju dengan cadangan prosedur operasi standard (SOP) Gelembung Pelancongan Antarabangsa bagi Projek Rintis Pulau Langkawi.

Dalam perkembangan lain, Nancy berkata, pihaknya menyambut baik jumlah peruntukan RM1.6 bilion kepada Motac dalam pengumuman Bajet 2022 sekali gus dapat memulihkan sektor ekonomi negara yang terjejas ketika penularan pandemik Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Oktober 2021 @ 2:30 PM