PATI yang berjaya ditahan di pantai Kampung Punggai, Pengerang, awal pagi tadi. FOTO ihsan NTF
PATI yang berjaya ditahan di pantai Kampung Punggai, Pengerang, awal pagi tadi. FOTO ihsan NTF
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Cubaan 30 pendatang asing tanpa izin (Pati) menyusup masuk ke negara ini gagal apabila mereka dikesan Sistem Pengawasan Maritim Laut Malaysia (SWASLA) sebelum ditahan di pantai Kampung Punggai, Pengerang, Johor, awal pagi tadi.

Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Div) dalam kenyataan berkata, Sistem SWASLA digunakan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bersama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berjaya mengesan bot asing berkenaan.

"Maklumat itu disahkan sistem pengawasan radar kenderaan perisai AV8 Gempita serta anggota di pos pemerhati sebelum pasukan Quick Reaction Force (QRF) diatur gerak ke lokasi untuk melakukan serbuan.

"Susulan itu, satu serbuan pada jam 3.45 pagi dilakukan dan menahan 30 Pati terdiri daripada lelaki warga Indonesia berusia antara 21 hingga 46 tahun," katanya.

Bagaimanapun bot digunakan untuk membawa warga asing berkenaan sempat berpatah balik dan meloloskan diri.

"Semua Pati dibawa ke Markas Taktikal Tanjung Sepang untuk menjalani pemeriksaan dan saringan Covid-19 di Klinik Kesihatan Sungai Rengit sebelum diserahkan kepada Jabatan Imigresen, Setia Tropika, Kempas.

"Operasi juga berjaya merampas wang Malaysia dan Indonesia serta 20 telefon bimbit dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM12,203," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Jun 2021 @ 12:14 PM