LIMA Pati yang ditahan di Kampung Gambut Punggai, Kota Tinggi, awal pagi tadi. FOTO ihsan ATM
LIMA Pati yang ditahan di Kampung Gambut Punggai, Kota Tinggi, awal pagi tadi. FOTO ihsan ATM
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


LIMA pendatang asing tanpa izin (Pati) berjaya dikesan menggunakan Sistem Pengesanan Radar kenderaan perisai Gempita oleh Rejimen Kedua Kor Amor Diraja (2 KAD).

Hasil maklumat berkenaan membawa kepada penahanan Pati berkenaan di Kampung Gambut Punggai, Kota Tinggi, Johor awal pagi tadi.

Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Div) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam satu kenyataan berkata, semua individu yang ditangkap terdiri daripada lima lelaki berusia antara 23 hingga 40 tahun.

Menurutnya, tangkapan dilakukan pasukan Rejimen Ke-61 Artileri Diraja (61 RAD) kira-kira jam 4 pagi selepas mendapat maklumat daripada Sistem Pengesanan Radar kenderaan perisai Gempita 2 KAD yang mendapati sebuah bot menghampiri Kampung Bukit Puggai.

"Susulan itu, sepasukan anggota 61 RAD diketuai Kapten Norhisham Iswandy dari Pos Tanjung Sepang digerakkan membuat rondaan keselamatan di lokasi sebelum terserempak sebuah bot yang mencurigakan 50 meter dari pantai.

"Hasil pemeriksaan menemui lima Pati sedang bersembunyi dalam kawasan semak dipercayai sedang menunggu untuk menaiki bot terbabit," katanya.

Selain tangkapan, pasukan turut merampas tujuh telefon bimbit serta wang tunai RM1,550 serta mata wang Indonesia 21 juta Rupiah (RM6,236) daripada suspek.

Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan RM12,000.

"Semua Pati diserahkan kepada Balai Polis Bayu Damai untuk tindakan lanjut sebelum menjalani ujian saringan Covid-19.

"Usaha menjejaki diteruskan dengan bantuan Tim Dron daripada Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Julai 2020 @ 10:57 AM