Seramai 14 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia ditahan selepas dipercayai cuba memasuki ke negara ini, dalam serbuan di Teluk Punggai, Kota Tinggi. FOTO IHSAN APMM
Seramai 14 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia ditahan selepas dipercayai cuba memasuki ke negara ini, dalam serbuan di Teluk Punggai, Kota Tinggi. FOTO IHSAN APMM
Oleh Nurul Amanina Suhaini


Kota Tinggi: Empat belas pendatang asing tanpa izin (Pati) warga Indonesia ditahan ketika cuba menyeludup masuk ke negara ini pada serbuan di sekitar Teluk Punggai di sini, semalam.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Johor Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, kehadiran warga asing terbabit yang menaiki dua bot dikesan radar Sistem Pengawasan Laut (Swasla) APMM.

"Bot terbabit dikesan radar di perairan Johor Timur. Ia membawa warga asing pada kelajuan 30 knots dari perairan Indonesia menuju ke Teluk Punggai, jam 1.20 pagi.

"Aset APMM dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang melaksanakan Op Benteng di perairan Sektor 8 dimaklumkan berkaitan pencerobohan ini," katanya pada kenyataan hari ini.

Menurut beliau, hasilnya, sembilan warga asing ditahan jam 4 pagi manakala lima lagi ditahan jam 9.30 pagi.

Kesemua wrga asing terbabit yang berusia 20 hingga 45 tahun terdiri daripada lapan lelaki dan enam wanita dibawa ke Markas Taktikal Tanjung Sepang untuk proses lanjut.

"APMM akan terus meningkatkan pengesanan dan mengoptimumkan penggunaan Swasla bagi membantu mengesan cubaan menceroboh perairan negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 November 2021 @ 1:10 PM