Norzamira Che Noh


Pelabuhan Klang: Kerajaan memperuntukkan lebih RM100 juta untuk menambah dan menaik taraf Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) kelolaan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dalam usaha mengekang ancaman Covid-19 menerusi kemasukan pendatang asing melalui perairan negara.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, sistem rangkaian radar 24 jam digunakan untuk mengawasi dan mengesan semua jenis pergerakan bot atau kapal yang mencurigakan di perairan negara.

"Perancangan sudah bermula tiga tahun lalu dan akhirnya kerajaan bersetuju untuk kita menambah serta menaik taraf SWASLA sedia ada serta memperbaiki sekiranya adalah kelemahan atau kerosakan pada sistem yang kita hari ini.

"Ia satu jumlah yang agak besar melebihi RM100 juta diperuntukkan dan InsyaAllah kita akan umumkan tidak lama lagi. Saya mengharapkan projek ini dapat dilaksanakan dalam tempoh satu ke dua bulan ini," katanya pada sidang media selepas mengadakan sesi lawatan ke Area Control Centre (ACC) Klang, hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) Datuk Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Ketua Pengarah Maritim Malaysia Datuk Mohd Zubil Mat Som.

Beliau berkata, selepas setahun pelaksanaan Op Benteng Laut (Mei 2020 hingga Mei 2021), 19,196 pengesanan melalui sistem radar SWASLA dan semua kontak curiga itu akan disalurkan terus kepada aset di laut untuk tindakan pemintasan.

Katanya, daripada 443 sasaran curiga itu, 372 kontak berjaya diambil tindakan melalui pemeriksaan, penahanan, pengusiran, amaran dan komunikasi.

Hamzah Zainudin pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Pusat Operasi Area Control Centre (ACC) Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) Agensi Penguatkuasaan Maritirim Malaysia (APMM) di Pelabuhan Klang. FOTO FAIZ ANUAR
Hamzah Zainudin pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Pusat Operasi Area Control Centre (ACC) Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) Agensi Penguatkuasaan Maritirim Malaysia (APMM) di Pelabuhan Klang. FOTO FAIZ ANUAR

Katanya, 40 tangkapan dan pendakwaan sudah dilaksanakan membabitkan pelbagai kesalahan termasuk pendatang asing tanpa izin (Pati), penyeludupan dadah dan rokok serta melabuhkan kapal di lokasi yang tidak dibenarkan.

"Peranan SWASLA ternyata besar dalam mengesan dan membendung kemasukan bot dan kapal yang melakukan jenayah termasuk penyeludupan dadah dan manusia, terutamanya Pati dalam tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Jun 2021 @ 7:22 PM