Siti Rohana Idris


Tumpat: Hari kedua pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Kampung Kutan Tengah Mukim Wakaf Bharu semalam dicemari perbuatan khianat individu tidak bertanggungjawab yang merosakkan kawat duri.

Kawat duri atau concertina wire yang dipasang di dua laluan tikus kampung itu dipijak dan ada kesan dipotong sekali gus merosakkan peralatan yang dipasang untuk mengekang pergerakan penduduk.

Anggota Balai Polis Wakaf Bharu, Lans Koperal Alex Wong Tze Haw berkata, kerosakan itu disedari pada jam 4.15 petang semalam ketika sedang menjalankan rondaan bersama dua anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

Alex berkata, sebaik tiba di kawasan tali air Kampung Kutan Tengah itu, dia ternampak gulungan kawat duri yang dipasang rosak seakan perbuatan khianat.

"Kami memeriksa kawat itu dan terlihat ada kesan dipotong dan lenyek akibat dipijak.

"Sebelum itu kerosakan yang sama dilakukan di satu lagi lokasi tidak jauh dari situ dipercayai berlaku pagi semalam dan sudah dibaiki pihak tentera.

"Satu lagi gelung kawat duri yang terletak tidak jauh dari lokasi kedua juga ada kesan seperti dialih," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.

Bagi PKPD Kampung Kutan Tengah itu, sebanyak lima lokasi utama dan laluan tikus dipasang dengan kawat duri manakala di lokaliti Kampung Ketil, Mukim Pengkalan Kubor pula empat lokasi.

LANS Koperal Alex Wong Tze Haw bersama anggota Rela, Azmi Jusoh menunjukkan kerosakan yang dilakukan individu tidak bertanggungjawab terhadap kawat duri yang dijadikan penghalang pergerakan keluar masuk penduduk sempena PKPD di kampung itu. FOTO Siti Rohana Idris
LANS Koperal Alex Wong Tze Haw bersama anggota Rela, Azmi Jusoh menunjukkan kerosakan yang dilakukan individu tidak bertanggungjawab terhadap kawat duri yang dijadikan penghalang pergerakan keluar masuk penduduk sempena PKPD di kampung itu. FOTO Siti Rohana Idris

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Ab Rashid Mat Daud berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kerosakan yang dilakukan terhadap kawat duri yang dipasang di dua laluan itu.

"Kita akan kesan individu yang tidak bertanggungjawab itu dan akan ambil tindakan lanjut.

"Rondaan dan kawalan yang lebih kerap akan dilakukan bagi mengelakkan kejadian yang sama berulang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Jun 2021 @ 10:56 AM