Zaid Salim


Hulu Terengganu: Polis memperketatkan kawalan di dua lokaliti Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di daerah ini membabitkan penempatan Felda Tersat, Ajil dan Tapak Projek Pembinaan Kuarters Tenaga Nasional Berhad (TNB), Kuala Berang, di sini.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, pihaknya menempatkan 50 anggota bagi mengawal pergerakan keluar masuk di dua lokasi terbabit.

"Seramai 30 anggota ditugaskan di Felda Tersat dan selebihnya di tapak projek pembinaan berkenaan dan kita turut mendapat bantuan daripada anggota RELA (Jabatan Sukarelawan Malaysia).

"Sebanyak tujuh laluan tikus di Felda berkenaan dikawal rapi anggota keselamatan bagi memastikan tiada pergerakan keluar masuk di laluan itu.

DEPUTI Superintendan Mohd Adli Mat Daud (kiri) memeriksa kawat duri di sekatan jalan semasa tinjauan di pintu masuk Felda Tersat, Ajil. FOTO GHAZALI KORI
DEPUTI Superintendan Mohd Adli Mat Daud (kiri) memeriksa kawat duri di sekatan jalan semasa tinjauan di pintu masuk Felda Tersat, Ajil. FOTO GHAZALI KORI

"Semua laluan termasuk tiga pintu masuk utama ke Felda dipasang penghadang simen dan kawad berduri," katanya pada sidang media ketika membuat tinjauan di pintu masuk utama Felda Tersat, hari ini.

Difahamkan, laluan berkenaan yang terletak di kawasan ladang itu sebelum ini menjadi laluan peneroka untuk ke kebun.

Mohd Adli berkata, berikutan pelaksanaan PKPD ini, laluan terbabit berpotensi menjadi laluan alternatif penduduk keluar masuk bagi mengelak pemeriksaan polis.

"Justeru, kita akan memperketatkan kawalan di seluruh kawasan ini membabitkan keluasan 1,145 hektar," katanya.

PKPD di dua kawasan berkenaan dilaksanakan bermula dua minggu bermula hari ini.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Februari 2021 @ 4:55 PM