RAHMAD (kiri) berbincang bersama Dr Noor Aizam (tengah) dan beberapa pihak lain mengenai kebenaran operasi awal kilang  di Batu Berendam, hari ini. FOTO  NURALIAWATI SABRI.
RAHMAD (kiri) berbincang bersama Dr Noor Aizam (tengah) dan beberapa pihak lain mengenai kebenaran operasi awal kilang di Batu Berendam, hari ini. FOTO NURALIAWATI SABRI.
Nuraliawati Sabri


Melaka: Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Melaka menafikan memberikan kebenaran kepada pekerja kilang elektronik di Batu Berendam, di sini, yang memakai gelang merah jambu untuk hadir dan bekerja seperti biasa.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, mereka yang dibenarkan hadir bekerja hanyalah yang disahkan negatif Covid-19 dan gelang dipakai mereka sudah dipotong.

Beliau berkata, kilang elektronik itu yang sebelum ini diberikan notis penutupan selama tujuh hari kemudian dibenarkan beroperasi lebih awal selepas penilaian dilakukan dengan mengambil kira beberapa aspek serta bersyarat.

"Perbincangan itu membabitkan beberapa pihak termasuk Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) sebelum hanya 40 peratus atau kira-kira 1, 500 daripada 9, 000 pekerja dibenarkan hadir bekerja dan keputusan ujian RTK Antigen Covid-19 mestilah negatif.

"Ada kekeliruan, mana-mana kes yang bukan kontak rapat atau saringan bersasar semua sekali mereka boleh bekerja. Kontak rapat ini dinilai hasil daripada kes indeks," katanya selepas melakukan lawatan ke kilang berkenaan, lewat petang, hari ini.

Hadir sama, Pegawai Perubatan Daerah Melaka Tengah, Dr Noor Aizam Mohd Said.

Beliau berkata, kerajaan negeri melalui JKN Melaka memantau ketat kilang itu kerana ia sudah mencetus tiga kluster selain perlu memperketatkan prosedur operasi standard (SOP).

Menurutnya, selain penetapan jumlah 40 peratus kehadiran pekerja, pihak kilang bersetuju menjalankan ujian RTK setiap hari ke atas semua pekerja.

"Malah kami menetapkan sekiranya terdapat jangkitan baharu lebih lima peratus, kilang akan ditutup kembali dan tiada kompromi dalam hal ini," katanya.

Terdahulu, semalam tular di media sosial yang mendakwa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberi kebenaran kepada pekerja kilang terbabit terutama mereka yang bekerja di Blok 7, 8 dan 9 yang bergelang merah jambu untuk bekerja dengan jumlah 40 peratus pekerja dibenarkan bekerja.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Jun 2021 @ 10:09 PM