GAMBAR tular menunjukkan pekerja kilang warga asing yang memakai gelang merah jambu masuk ke kedai di Pekan Sungai Sembilang, Jeram, hari ini. FOTO Ihsan Pembaca
GAMBAR tular menunjukkan pekerja kilang warga asing yang memakai gelang merah jambu masuk ke kedai di Pekan Sungai Sembilang, Jeram, hari ini. FOTO Ihsan Pembaca
Amirul Aiman Hamsuddin


Kuala Selangor: Tindakan sekumpulan pekerja kilang warga asing yang memakai gelang merah jambu masuk ke kedai di Pekan Sungai Sembilang, Jeram, di sini, tular di laman sosial, hari ini.

Difahamkan, semua pekerja kilang itu disyaki kontak rapat selepas 44 daripadanya yang bekerja di sebuah kilang dipercayai mempunyai kes positif Covid-19.

Beberapa gambar dan video yang dimuat naik menunjukkan pekerja kilang terbabit masuk ke dalam kedai secara bersahaja hingga menimbulkan kemarahan di kalangan warganet.

Rata-rata warganet juga mengecam dan mempersoal tindakan majikan kilang terbabit yang dilihat tidak memantau pergerakan pekerja mereka secara serius.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Superintendan Ramli Kasa berkata, pihaknya mengambil maklum berhubung perkara berkenaan.

Beliau berkata, kejadian terbabit berlaku hari ini di mana dua bas sedang menunggu pekerja yang sudah disaring sebelum dihantar ke pusat kuarantin di Meru, Klang.

"Terdapat pekerja yang dipercayai kontak rapat dan memakai gelang merah jambu mengambil kesempatan pergi ke kedai.

"Bagaimanapun, polis yang menerima maklumat kemudiannya bergegas ke lokasi kejadian dan mengarahkan pekerja terbabit berkumpul untuk dibawa ke pusat kuarantin," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Mei 2021 @ 9:02 PM