FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Nur Izzati Mohamad


Georgetown: Hanya 27.31 peratus daripada 5,654 remaja di Pulau Pinang yang belajar di sekolah agama, tahfiz dan pondok pengajian Islam sudah mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 setakat ini.

Perkara itu didedahkan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Luar Bandar negeri Dr Norlela Ariffin dalam kenyataan yang dikongsikan dalam kumpulan WhatsApp bersama media.

Norlela berkata, hanya 1,534 pelajar sahaja daripada tiga jenis sekolah agama itu yang disuntik vaksin setakat ini, justeru beliau berharap ibu bapa dan waris segera bawa anak mereka mendapatkan perlindungan vaksin virus itu.

"Mesyuarat Covid-19 Imunisasi Taskforce (CITF) negeri semalam dimaklumkan berhubung keputusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang memaklumkan tarikh akhir semua 10 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) walk in (jumpa terus) dibuka sehingga 31 Oktober ini.

"Maka, saya harap ibu bapa dan waris segera bawa anak untuk dapat perlindungan vaksinasi sebelum 10 PPV ini ditutup, terutama sekali bagi mereka yang mempunyai anak bersekolah di sekolah agama, tahfiz dan pondok pengajian Islam," katanya, hari ini.

Beliau berkata, mengikut data, pelajar tahfiz mencatatkan rekod terendah apabila hanya 7.5 peratus iaitu 202 daripada 2,659 pelajar yang menerima vaksin Covid-19.

"Bagi pelajar Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR) sebanyak 1,095 daripada 1,834 pelajar sudah menerima vaksin manakala sekolah pondok pula sebanyak 237 daripada 1,161 pelajar sudah divaksinasi.

"Mengikut Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (JAIPP) vaksinasi pelajar diuruskan oleh keluarga masing-masing," katanya.

Mengulas lanjut mengenai Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) remaja negeri, Norlela berkata, sebanyak 85.9 peratus iaitu 121,486 daripada 141,500 remaja di negeri ini sudah menerima suntikan dos pertama.

"Semalam sudah bermula pemberian suntikan dos kedua kepada golongan remaja dan bagi penduduk Pulau Pinang berusia 12 tahun ke atas yang masih belum suntik vaksin, sila segera ke 10 PPV untuk berbuat demikian," katanya.

Sepuluh PPV terbabit adalah PPV Tapak Pesta, PPV Dewan Balik Pulau, PPV SPICE, PPV Dewan Millenium, PPV Dewan Convention Perda, PPV SP Arena Seberang Jaya, PPV Tapak Expo Seberang Jaya, PPV Hotel Vangohh Cherok Tok Kun, PPV Dewan Jawi dan PPV Dewan Sg Bakap.

Dalam pada itu, berhubung suntikan dos penggalak Norlela berkata, beliau berharap perkara itu dapat diumumkan secepat mungkin selepas Kelantan memulakan suntikan berkenaan semalam.

"Apabila Kelantan dah mula vaksinasi dos penggalak semalam, saya sudah tanya Menteri Kesihatan (Khairy Jamaluddin) bila Pulau Pinang akan mula suntik dos berkenaan.

"Terdapat anggaran 482,000 barisan hadapan kesihatan, warga emas dan pesakit komorbid di negeri ini yang kita berharap suntikan dos penggalak dapat disegerakan," katanya

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Oktober 2021 @ 1:29 PM