FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Kerajaan melanjutkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di dua lokaliti di Melaka dan Sabah yang sepatutnya tamat esok kepada 5 Jun ini.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata dua lokaliti berkenaan adalah Kampung Lubok Redan, Alor Gajah, Melaka dan PKPD Lorong 2, Kampung Kongsi 8, Tawau, Sabah.

Beliau berkata, sebanyak 617 ujian dilaksanakan Kementerian Kesihatan(KKM) sepanjang tempoh PKPD yang dilaksanakan sebelum ini dan 27 individu disahkan positif Covid-19.

"KKM mengesahkan penularan masih berlaku di lokaliti itu dan kes baharu direkodkan serta terdapat juga sampel ujian sedang menunggu keputusan.

"Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melanjutkan PKPD di Kampung Lubok Redan, Alor Gajah, Melaka bermula 30 Mei sehingga 5 Jun 2021," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, pelanjutan PKPD di Lorong 2, Kampung Kongsi 8, Tawau, dibuat selepas 40 daripada 295 ujian saringan dilakukan oleh KKM disahkan positif Covid-19.

Selain itu, beliau berkata, KKM mendapati penularan kes masih berlaku di lokaliti terbabit dengan kes baharu juga direkodkan.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Mei 2021 @ 8:41 PM