Foto hiasan
Foto hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Dua lokaliti di Tawau, Sabah dan Sungai Passin, Matu di Sarawak disambung Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 26 April hingga 9 Mei ini.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPD di Bandar Sri Indah dan Kampung Titingan di Tawau akan tamat esok dengan 607 ujian saringan sudah dijalankan dengan 81 kes positif Covid-19 dikesan setakat ini.

Menurutnya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan masih berlaku penularan berterusan dalam kalangan penduduk di Bandar Sri Indah dan Kampung Titingan.

"Selepas membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju untuk melanjutkan PKPD di Bandar Sri Indah dan Kampung Titingan bermula 26 April sehingga 9 Mei ini.

"Satu lagi kawasan dilanjutkan PKPD adalah di Sungai Passin yang sepatutnya tamat esok.

"Sehingga kini, KKM sudah melaksanakan 442 ujian saringan dan daripada jumlah itu secara kumulatif sebanyak 49 kes positif Covid-19 direkodkan.

"KKM turut melaporkan masih terdapat penularan berterusan dalam kalangan penduduk di kawasan PKPD serta kes terakhir yang dilaporkan adalah pada 19 April lalu iaitu sebanyak lima kes positif," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, enam lokaliti di Tawau iaitu Taman Cahaya, Jalan Tengku Osman, Kuarters Bomba Tawau, Jalan Mesra, Taman Golden Hill dan Taman Sri Bukit ditamatkan PKPD mengikut jadual seperti yang ditetapkan esok," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 April 2021 @ 7:22 PM