GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Rafidah Mat Ruzki dan Irwan Shafrizan Ismail


Kuala Lumpur: Golongan muda lingkungan usia 20 hingga 40 tahun paling ramai dijangkiti virus Covid-19 pada gelombang ketiga wabak pandemik itu.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba tanpa memberikan perincian peratusan berkata, keadaan terkini itu menunjukkan peningkatan jangkitan Covid-19 melalui kes sporadik.

"Data terkini Pusat Kesiapsiagaan dan Respons Krisis (CPRC) mendapati gelombang ketiga Covid-19 lebih banyak menjangkiti golongan muda.

"Ini menunjukkan bahawa kita mengesan lebih banyak kes sporadik atau tiada kaitan dengan kluster," katanya pada sidang media secara maya tadi.

Selain itu beliau berkata, jumlah pesakit Covid-19 dengan gejala serius iaitu tahap empat dan lima juga meningkat 15 peratus dalam gelombang ketiga berbanding lima peratus sebelum ini.

"Malah mereka yang mendapatkan rawatan dalam kategori 4 dan 5 juga meningkat berbanding gelombang kedua.

"Jadi saranan kita kepada masyarakat supaya sentiasa berwaspada, bagi yang dijangkiti dan dirawat sama ada di hospital atau Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC), kita pantau sebaiknya,

"Bagi mereka yang pada awal didapati tidak bergejala tapi kemudiannya bergejala serius (kategori 4 dan 5) minta segera hubungi fasiliti kesihatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Mei 2021 @ 5:06 PM