Tinjauan orang ramai yang mengunjungi bazar ramadhan mematuhi standard operation procedure (SOP) dengan memakai pelitup muka. FOTO SYAFEEQ AHMAD
Tinjauan orang ramai yang mengunjungi bazar ramadhan mematuhi standard operation procedure (SOP) dengan memakai pelitup muka. FOTO SYAFEEQ AHMAD
Rafidah Mat Ruzki dan Noor Atiqah Sulaiman


Putrajaya: Orang ramai perlu menggunakan alat perlindungan peribadi (PPE) seperti pelitup muka seperti saranan Kementerian Kesihatan (KKM) berikutan banyak kes jangkitan dikesan membabitkan kes sporadik.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, KKM merekodkan kira-kira 60 peratus daripada keseluruhan kes Covid-19 sepanjang tempoh 1 Januari hingga 25 April, yang dilaporkan tiada kaitan epid (epid link) atau tidak diketahui punca.

"Ia membabitkan sebanyak 170,173 kes dan ia sangat banyak. Tiga negeri yang mencatatkan kes sporadik, yang perlu kita kawal dengan baik ialah Selangor dengan 65,215 kes; Kuala Lumpur (19,834) dan Johor (17,974).

"Kes sporadik ini sudah berada dalam masyarakat. Selain daripada 60 peratus, kira-kira 40 peratus adalah kluster yang direkodkan setakat ini," katanya pada sidang media mingguannya hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal) Kementerian Kesihatan (KKM), Datuk Dr Hishamshah Mohd Ibrahim, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) KKM Datuk Dr Chong Chee Kheong dan Pengarah Institut Penyelidikan Klinikal, Institut kesihatan Negara (NIH) Dr Kalaiarasu M Peariasamy.

Beliau berkata, KKM bimbang kes sporadik ini boleh menular di sekolah berikutan kepatuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) tidak dapat dipastikan.

Katanya, kebanyakan kes kluster di sekolah berpunca dari luar berikutan pematuhan SOP yang tinggi di sekolah.

"Kebanyakan jangkitan didapati indeksnya berasal dari luar yang direkodkan sebagai kontak dengan keluarga yang mungkin tidak bergejala dan tidak dapat dikesan di peringkat awal," katanya.

Sementara itu, Dr Chong berkata, semua orang sedar selain mendidik orang ramai mengenai amalan normal baharu serta langkah pencegahan terhadap Covid-19 yang perlu diambil, KKM juga berdepan usaha untuk meyakinkan mereka untuk berubah.

Katanya, kebanyakan penduduk di negara ini sedar mereka kini perlu memakai pelitup muka ketika berada di tempat awam, mengelakkan tempat sesak dan sempit, namun, KKM perlu terus menekankan amalannya dalam kalangan masyarakat.

"Walaupun kami tidak menyukainya, tetapi penguatkuasaan terhadap SOP itu perlu dilakukan. Kami sudah menjalankan beberapa siri penguatkuasaan setakat ini termasuk meningkatkan jumlah kompaun.

"Namun, menggunakan kaedah penguatkuasaan bukanlah caranya kerana orang ramai mungkin sukar untuk membayar kompaun dikenakan.

"Kita kini sudah mempunyai vaksin, justeru fokusnya bukan saja terhadap SOP malah mengenai pengambilan vaksin juga," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 April 2021 @ 3:11 PM