Foto hiasan
Foto hiasan
Izwan Abdullah

Kota Kinabalu: Majlis sambutan hari jadi dipercayai menjadi punca tercetusnya satu kluster baharu Covid-19 berkaitan jangkitan dalam komuniti yang dilaporkan di Sabah hari ini.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah Datuk Masidi Manjun berkata, Kluster Kimolohing yang dilaporkan di Ranau itu setakat ini dikenal pasti membabitkan seramai 49 individu yang dikesan positif virus berkenaan.

Menurutnya, kluster berkenaan dikesan selepas kes indeks iaitu seorang lelaki tempatan dari Kampung Kimolohing, Ranau dikesan positif Covid-19 melalui saringan bergejala pada 18 Oktober lalu.

"Berdasarkan siasatan awal, kes indeks mengadakan majlis sambutan hari jadi pada 12 hingga 14 Oktober lalu di rumahnya. Kemudiannya pada 16 Oktober, kes indeks juga menghadiri majlis hari jadi di rumah saudaranya.

"Selepas itu, kes indeks mula bergejala pada 17 Oktober dan menjalani saringan pada hari berikutnya sebelum didapati positif Covid-19.

"Berikutan itu, saringan kontak rapat dilakukan dan seramai 48 orang dari lokaliti yang sama didapati positif Covid-19 menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 49 kes.

"Bagaimanapun, punca jangkitan sebenar masih dalam siasatan," katanya dalam kenyataannya malam ini.

Sementara itu, Masidi berkata, daripada 565 kes baharu yang dilaporkan di Sabah hari ini, sebanyak 213 kes atau 37.7 peratus dikesan melalui saringan bergejala atau turut dikategorikan sebagai kes sporadik.

Katanya, jumlah itu masih tinggi dan harus menjadi peringatan agar semua penduduk tidak lalai dalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

"Penarikan balik sekatan tertentu kegiatan ekonomi dan sosial merancakkan aktiviti yang membabitkan perjumpaan dan perhimpunan sama ada di tempat kerja atau di tempat awam.

"Ini meningkatkan risiko jangkitan virus secara sporadik," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Oktober 2021 @ 10:41 PM