Masidi Manjun
Masidi Manjun
Izwan Abdullah
am@hmetro.com.my


Kota Kinabalu: Sasaran 60 peratus populasi di Sabah mendapat suntikan lengkap vaksin Covid-19 dijadual mampu dicapai menjelang 21 September depan.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, sasaran itu berdasarkan kemampuan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) memberi sehingga 60,000 dos vaksin sehari.

Beliau bagaimanapun berkata, kemampuan itu bergantung kepada bekalan vaksin yang tersedia dan tiada gangguan jadual penghantaran vaksin ke Sabah.

"Atas andaian bekalan vaksin yang mencukupi terjamin, mengikut perancangan, JKNS boleh mengekalkan momentum melaksanakan pemberian vaksin dengan kadar yang cepat seperti sekarang.

"Ini bermakna 60 peratus penduduk Sabah yang perlu divaksin boleh memperolehi vaksin penuh atau lengkap dua dos suntikan menjelang 21 September 2021," katanya dalam kenyataan, di sini.

Sehingga semalam, katanya sebanyak 1,383,193 dos suntikan vaksin Covid-19, masing-masing 967,555 dos suntikan pertama dan 415,638 suntikan dos kedua berjaya diberikan kepada rakyat negeri ini.

Bagi suntikan harian, katanya JKNS berjaya memberikan suntikan sebanyak 46,840 dos vaksin semalam.

Mengulas lanjut, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, berkata usaha meningkatkan suntikan vaksin penting dan menjadi keutamaan ketika ini berikutan peningkatan kes jangkitan sporadik.

"Dengan mengambil kira kes baharu yang semakin meningkat dan peratusan kes sporadik yang bertambah, adalah amat perlu bagi kita meningkatkan pemberian vaksin kepada semua penduduk dengan kadar yang segera," katanya.

Hari ini saja katanya, Sabah merekodkan 1,062 kes baharu Covid-19, naik semula kepada empat angka berbanding 949 kes semalam.

Berdasarkan analisa dibuat JKNS, katanya peratusan kes bergejala atau kes sporadik didapati semakin meningkat dengan sebanyak 251 kes hari ini atau 24 peratus daripada jumlah kes harian berbanding 201 kes atau 21.2 peratus semalam.

"Kes sporadik yang agak tinggi berlaku di kawasan bandar seperti Kota Kinabalu, Tawau, Penampang, Tuaran dan Sandakan. Di Kota Kinabalu, sebanyak 83 kes daripada 239 kes hari ini adalah dalam kategori bergejala atau sporadik, manakala di Tawau (37 kes), Penampang (27), Sandakan (19) dan Tuaran (27)," katanya.

Secara keseluruhan, daerah Tawau mencatat 137 kes hari ini, manakala Penampang (106), Tuaran (114) dan Sandakan (62).

Pada masa sama, katanya saringan kontak rapat terus menjadi penyumbang utama kes harian di Sabah iaitu 569 kes atau 54 peratus daripada jumlah keseluruhan kes hari ini, manakala 123 kes atau 12 peratus menerusi saringan kluster dan 65 kes atau enam peratus melalui saringan bersasar.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Ogos 2021 @ 5:52 PM