PETUGAS kesihatan melakukan ujian saringan ke atas penduduk yang hadir pada program saringan percuma. FOTO Muhd Asyraf Sawal
PETUGAS kesihatan melakukan ujian saringan ke atas penduduk yang hadir pada program saringan percuma. FOTO Muhd Asyraf Sawal
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Kes sporadik kekal tinggi pada Minggu Epidemilogi (ME) ke-22 sehingga 5 Jun 2021, dengan jumlah kes baharu Covid-19 yang dilaporkan adalah sebanyak 52,040 kes, 84.3 peratus adalah kes sporadik.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, berdasarkan analisa dijalankan, didapati jumlah kumulatif kes baharu Covid-19 yang dilaporkan pada ME ke-13 sehingga 3 April 2021 adalah sebanyak 8,968 kes dan 52.0 peratus adalah kes sporadik.

Katanya, negara kemudiannya merekodkan kes kumulatif mingguan tertinggi setakat ini pada ME ke-21, iaitu sebanyak 53,419 kes di mana 85.1 peratus adalahkes sporadik.

"Bagi kumulatif kes kematian Covid-19 pula, didapati ia semakin meningkat dari minggu ke minggu.

"Kes kematian Covid-19 yang dilaporkan pada ME ke-13 (sehingga 3 April 2021) adalah sebanyak 35 kes iaitu 26 kes sporadik, manakala pada ME ke-19 adalah sebanyak 209 kes (187 kes sporadik).

"Jumlah ini melonjak dan pada ME ke-22 iaitu sebanyak 641 kes kematian Covid-19 dengan 559 adalah kes sporadik," katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, salah satu faktor yang menyumbang kepada situasi itu adalah berikutan kemunculan varian baharu dalam komuniti dengan kadar kebolehjangkitan dan kematian yang lebih tinggi, selain penularan Covid-19 secara lebih meluas di dalam komuniti berbanding ME yang sebelum.

"Justeru, KKM ingin menyeru masyarakat untuk mengambil serius situasi ini di mana penularan Covid-19 adalah di dalam komuniti termasuklah tempat beli belah, tempat kerja, dan sebagainya.

"Masyarakat perlu faham bahawa sesiapa sahaja boleh dijangkiti Covid-19 tidak kira di mana mereka berada.

"Akibatnya, kita dapat melihat peningkatan kes-kes sporadik dan kematian akibat kes-kes sporadik ini di dalam komuniti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Jun 2021 @ 7:58 PM