BERNAMA

Johor Bahru: Seramai 30 individu termasuk remaja 16 tahun antara ditahan kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dengan berkumpul di tiga unit apartmen atas alasan menyambut Aidilfitri tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Mohd Padzli Mohd Zain berkata, 19 lelaki dan 11 wanita berumur antara 16 hingga 29 tahun itu, ditahan selepas polis membuat tiga serbuan berasingan di sekitar bandar raya ini kira-kira 12.15 tengah malam.

Kesemua mereka dikompaun dengan nilai keseluruhan RM45,000.

Beliau berkata, kesemua mereka dipercayai menyewa dua unit apartmen di Jalan Tanjung Puteri dan sebuah lagi di Taman Jaya Putra, di sini, selama beberapa hari bagi menyambut perayaan berkenaan.

"Ketika serbuan mereka didapati berkumpul di ruang tamu rumah tanpa penjarakan fizikal dan tidak memakai pelitup muka. Semua yang ditahan dikompaun kerana melanggar syarat PKP mengikut Peraturan 16 PPPDPB 2021 (Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021) dan tiada penjarakan fizikal," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau menasihatkan orang ramai sentiasa mematuhi SOP PKP bagi memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 dan tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang tidak mematuhi SOP ditetapkan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Mei 2021 @ 1:44 PM