GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Dua pemilik bas dan van pekerja serta pemandu dikompaun RM22,000 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) membawa penumpang melebihi kapasiti dibenarkan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Mohd Padzli Mohd Zain berkata, van dan bas pekerja terbabit ditahan menerusi sekatan jalan raya (SJR) secara bergerak pada 8 malam di Taman Daya di sini.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan dilakukan, dua lelaki berusia antara 55 hingga 59 tahun iaitu pemilik yang juga pemandu van pekerja serta pemandu bas pekerja didapati gagal mematuhi SOP PKP yang ditetapkan.

Katanya, sepatutnya semua pengangkutan awam hanya dibenarkan membawa 50 peratus jumlah penumpang daripada kapasiti penuh kenderaan itu.

"Sebaliknya, penumpang yang dibawa dalam kenderaan berkenaan adalah melebihi 50 peratus dan tiada penjarakan fizikal.

"Polis menghubungi majikan pemandu bas iaitu seorang lelaki berusia 70 tahun dan diminta tampil ke IPD Johor Bahru Selatan bagi siasatan lanjut.

"Hasil siasatan lanjut, lelaki terbabit mengaku sebagai pemilik bas pekerja berkenaan," katanya.

Mohd Padzli berkata, ketiga-tiga lelaki berkenaan dikenakan kompaun mengikut kesalahan peraturan 17 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.

Beliau berkata, pemilik van dan bas pekerja masing-masing dikompaun RM10,000 manakala pemandu bas pekerja dikompaun RM2,000.

"Semua pemilik kenderaan dan penumpang supaya mematuhi segala SOP yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Kerjasama orang ramai mematuhi SOP adalah penting bagi membolehkan kita menangani penularan Covid-19 dalam komuniti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Jun 2021 @ 4:23 PM