EMPAT dikompaun RM4,000 seorang kerana berkumpul menyambut hari lahir di sebuah apartmen di Jalan Dato Abdullah Tahir. FOTO ihsan polis
EMPAT dikompaun RM4,000 seorang kerana berkumpul menyambut hari lahir di sebuah apartmen di Jalan Dato Abdullah Tahir. FOTO ihsan polis
Omar Ahmad.


Johor Bahru: Empat individu termasuk seorang wanita dikompaun sebanyak RM4,000 setiap seorang kerana ingkar dengan arahan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dengan menyambut hari lahir di sebuah apartmen di Jalan Dato Abdullah Tahir, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Mohd Padzli Mohd Zain berkata, serbuan jam 5 petang itu dijalankan sepasukan pegawai kanan dan anggota polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan.

"Semua suspek berusia antara 26 hingga 31 tahun mengaku berkumpul untuk berhibur menyambut hari jadi salah seorang daripada mereka.

"Mereka dikompaun sebanyak RM4,000 setiap seorang mengikut kesalahan di bawah Peraturan 10 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Dalam serbuan berasingan, Mohd Padzli berkata, empat lelaki ditahan di taman permainan berhampiran sebuah flat di Jalan Sri Stulang, semalam.

Katanya, semasa rondaan cegah jenayah dan pemantauan Ops Covid-19, anggota melihat sekumpulan lelaki berkumpul kira-kira sepuluh hingga 15 orang di kawasan itu.

"Menyedari kehadiran polis, mereka melarikan diri. Hasil operasi ini, polis menahan empat lelaki berumur 15 hingga 22 tahun kerana tidak mematuhi penjarakan fizikal dan tidak memakai pelitup muka.

"Keempat-empat lelaki itu dikompaun sebanyak RM1,500 setiap seorang mengikut kesalahan di bawah Peraturan 17 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Jun 2021 @ 11:28 AM